Malaysia Dateline

Menteri Wanita, Pendidikan gagal tangani isu gangguan seksual

Gangguan seksual bukan salah satu norma yang boleh diterima malahan ianya wajib dikecam, kata Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Beliau menegaskan seluruh rakyat Malaysia harus memandang serius isu tersebut kerana sekiranya tidak berbuat demikian, mempersenda maruah wanita akan menjadi suatu ‘kelaziman’ di negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Wanita PKR berkenaan menyelar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Menteri Pendidikan kerana gagal mengenalpasti isu gangguan seksual sebagai satu isu yang amat besar adalah amat mengecewakan.

“Rang Undang-Undang Gangguan Seksual gagal dibawa ke Parlimen seperti yang telah dijanjikan sewaktu PH (Pakatan Harapan) menjadi kerajaan.

“Menteri Pendidikan sunyi sepi seolah-olah mulut dizip mempamerkan sikap sambil lewa pihak Menteri dan kementerian memberi gambaran seolah hal ini merupakan perkara yang enteng,” bidasnya dalam kenyataan hari ini.

Fuziah berkata, RUU Akta Gangguan Seksual perlu dibentangkan dengan serta-merta memandangkan Akta Kanak-kanak dan peruntukan-peruntukan di dalam Kanun Keseksaan serta beberapa undang-undang sedia ada untuk mengekang jenayah gangguan seksual belum mampu menangani gangguan seksual secara spesifik.

“Saya juga menggesa agar kerajaan memperhebatkan pendidikan gender dan advokasi kesedaran gangguan seksual.

“Wanita PKR bersedia menawarkan khidmat nasihat berkaitan dakwaan dan salah laku gangguan seksual yang berlaku dalam masyarakat,” ujarnya lagi.