Malaysia Dateline

Menteri Wanita perlu bentang segera RUU tambah pegawai tangani kes dera, abai kanak-kanak

Isu yang dibangkitkan oleh Menteri Wanita, Rina Harun kelmarin iaitu “jumlah Pegawai Perlindungan Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu ditambah segera, bagi mengendalikan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak”, hakikatnya bukanlah satu hal baharu, dan sebenarnya sudahpun diketahui oleh kita sekian lama.

Apa yang kita nanti-nantikan adalah adakah tindakan telah diambil dan bagaimana memastikan usaha itu adalah sesuatu yang sustained .

Kekurangan tenaga kerja daripada segi Pegawai Pelindung Kanak-Kanak sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru.

Rina Harun

Semasa Pakatan Harapan berada dalam Kerajaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diterajui Datuk Seri Dr Wan Azizah ketika itu telah pun mengenal pasti isu-isu kekurangan Pegawai Pelindung Kanak-Kanak, bahkan dalam perancangan bagi pengambilan lebih ramai pegawai untuk membantu dalam melindungi anak-anak kita.

Malangnya, Kerajaan PH yang merupakan kerajaan mandat rakyat ditumbangkan pada Februari 2020, menyaksikan bagaimana pelbagai rancangan murni kerajaan PH untuk negara tidak dilaksanakan sehinggalah ke hari ini.

Kelmarin kita dikejutkan dengan kenyataan lembab seorang Menteri Wanita selepas 2 kes penderaan kejam terhadap kanak-kanak.

Rina seharusnya tahu bahawa perbincangan mengenai keperluan Pegawai Pelindung Kanak-Kanak tidak boleh dibuat tanpa terlebih dahulu memahami akan kepentingan menggubal sekaligus membentang Rang Undang-undang Profesion Pekerja Sosial, dan ini termasuk dalam Sepuluh Tuju Tumpu Wanita Amanah Untuk Malaysia pada bahagian Tuju Tumpu Kelapan, yang saya bentangkan pada 16 September 2022 di Konvensyen AWAN Nasional.

Setakat membangkit isu dan permasalahan tidak menggambarkan Rina adalah seorang Menteri yang telah menjalankan tugas, tanggungjawab dan amanah yang sepatutnya telah diuruskan dan digerakkan solusi lebih awal.

Rina wajar lebih berperanan aktif sama ada dalam mesyuarat peringkat kementerian, mesyuarat Kabinet dan pasca Kabinet. Baharulah banyak isu dan permasalahan rakyat di bawah sana dapat diselesaikan secara terarah, bertanggungjawab dan berkesan.

Sesiapapun yang merupakan Menteri Kabinet harus berhenti daripada asyik menceritakan masalah atau apa sahaja halangan yang wujud dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka, sebaiknya memberitahu rakyat tentang apa solusi ke hadapan dan sejauhmana tindakan-tindakan telah diambil.

Sebagai penandatangan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), saya juga ingin mengulang seruan agar Kerajaan segera membentang laporan negara ke mesyuarat Majlis Hak Asasi Manusia PBB mengenai kelemahan, pencapaian dan langkah-langkah ke hadapan Malaysia dalam melindungi hak dan kebajikan semua kanak-kanak dalam negara ini.

Seterusnya, apakah ikhtiar kerajaan khususnya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi meletakkan segala isu seputar pembangunan, kebajikan dan hak kanak-kanak dalam negara ini dapat diberi perhatian yang serius serta ditangani secara jelas dan berkesan?

Adalah sangat penting untuk kerajaan memahami akan keperluan mewujudkan jika tidak pun sebuah kementerian khusus untuk kanak-kanak, memadai jika Menteri Wanita menzahirkan komitmen dan political willnya terhadap harapan kebanyakan kita untuk melihat sebuah Jabatan atau Agensi khusus kanak-kanak atau sebuah Suruhanjaya Kanak-Kanak yang akan melapor terus kepada Parlimen.

*Penulis merupakan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Baca juga Rina boleh tersenyum bila cacian dilemparkan terhadap wanita-Hannah minta Rina digugurkan

Baca juga Netizen kagum kecekapan pemandu bas, ‘power driver’ dia!