Malaysia Dateline

Menteri Wilayah buat program orang ramai berkumpul ketika kes Covid-19 menggila

Walaupun Tan Sri Annuar Musa menyeru warga Wilayah Persekutuan untuk bersama-sama meraikan SHWP2021 secara kreatif Hari Wilayah Persekutuan, tetapi program yang dianjurkan kementeriannya semalam masih tidak mengikut suasana norma baharu.

Program [email protected] yang menyaksikan Annuar menyampaikan bakul makanan kepada golongan miskin bandar dan B40 dilihat masih lagi bersifat program di lapangan yang dilarang dalam usaha mencegah penularan jangkitan Covid-19.

Selain sekumpulan individu kenamaan berkumpul di sekeliling menteri, penerima masih dilihat berkumpul dalam satu kawasan meskipun sumbangan disampaikan secara pandu lalu dan diingatkan pihak penganjur agar sentiasa mematuhi jarak.

Rakaman video dikongsikan Annuar di Facebook miliknya juga memaparkan Ahli Parlimen Ketereh itu menyerahkan bakul makanan kepada penerima termasuk warga emas yang lebih tinggi terdedah untuk dijangkiti Covid-19.

Penerima terbabit dilihat duduk di kerusi masing-masing yang berjarak sebelum dihampiri menteri Umno itu untuk menyerahkan bantuan termasuk sekampit beras.

Annuar menyerahkan bakul makanan kepada salah seorang warga miskin bandar.

Sehubungan itu, pendekatan Annuar menganjurkan program sedemikian ketika negara masih dalam gelombang ketiga Covid-19 dengan kes harian mutakhir ini ada yang melebih 5,000 kes mendapat kecaman orang ramai.

Rata-rata warganet berpendapat bakul makanan itu lebih selamat disampaikan terus ke rumah penerima bagi mengelakkan wujudnya keadaan berkumpul sekali gus meminimumkan risiko merebaknya jangkitan Covid-19.

Sebelum ini Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru masyarakat supaya tidak menyertai sebarang bentuk perhimpunan bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pada April 2020 contohnya, mengingatkan perhimpunan membabitkan orang yang ramai tidak digalakkan langsung dalam tempoh enam bulan hingga setahun.

Bahkan, semua ahli Parlimen juga pernah diingatkan agar tidak mengadakan sebarang majlis atau berkumpul di kawasan sesak, tidak kira di luar atau dalam bangunan Parlimen.

Mudah merebak 

Walaupun Annuar, jawatankuasa penganjur dan penerima dilihat mengenakan pelitup muka tetapi risiko jangkitan sekali gus menambahkan lagi kluster sedia ada dibimbangi berlaku memandangkan negara sedang berdepan gelombang ketiga pandemik Covid-19.

Dr Hisham sebelum ini menegaskan mutasi jenis D614G sememangnya lebih mudah merebak dan mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi.

Semalam sahaja, terdapat pertambahan sebanyak 4,214 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 219,173 kes.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula masih sebanyak 48,074 kes dengan seramai 316 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 137 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Malaysia juga menduduki tangga ke-52 di dunia kes positif Covid-19 sekali gus negara ketiga tertinggi jumlah kes di Asia Tenggara selepas Indonesia dan Filipina.