Malaysia Dateline

Menteri Wilayah perlu ikut MB Selangor lawan Covid-19, kata MP KL

Ahli Parlimen Kuala Lumpur menuntut supaya Menteri Wilayah Persekutuan memainkan peranan sebagaimana Menteri Besar Selangor dengan membantu rakyat negeri itu melawan Covid-19.

Lim Lip EngAhli Parlimen Kepong, Lip Lim Eng berkata, Kerajaan Negeri Selangor sekali lagi setelah membuktikan bahawa mereka adalah kerajaan yang mendengar rintihan dan keluhan rakyat.

Pakej Kita Selangor yang diperkenalkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi implikasi kewangan sebanyak RM73.877 juta dan semestinya akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat Selangor, katanya.

“Keprihatinan rakyat seperti ini wajar dicontohi oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa untuk membantu rakyat di Kuala Lumpur dalam mengharungi cabaran pandemik Covid-19,” kata beliau.

Katanya, semua sedar bahawa masyarakat di Kuala Lumpur bukan sahaja sedang berdepan dengan sesebuah wabak, tetapi mereka juga sedang berjuang untuk meneruskan kehidupan.

“Saya percaya Menteri Wilayah Persekutuan mempunyai kuasa dan kapasiti untuk melancarkan program yang lebih kurang sifatnya.

“Ratusan juta ringgit yang disimpan di dalam deposit tetap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh diguna pakai untuk menyediakan keperluan asas terutama sekali kepada golongan warga emas, golongan yang kurang berkemampuan, golongan gelandangan, dan tidak dilupakan juga kepada barisan petugas hadapan,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau juga menyarankan Annuar Musa untuk membeli 5 juta dos vaksin Coronavirus khas untuk warga di ibu kota Kuala Lumpur, sama seperti perancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk membeli dos vaksin dengan jumlah yang sama.

Pembelian dos vaksin ini, katanya, pasti akan membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kerajaan Persekutuan dalam membendung penyebaran wabak Covid-19.

Tambahan pula, langkah ini juga akan akan memastikan lebih ramai orang mempunyai akses terhadap vaksin tersebut dan mempercepatkan usaha kerajaan dalam memastikan 80% rakyat Malaysia divaksinkan menjelang tahun 2022.

“Sekiranya 5 juta dos vaksin itu angka yang sedikit mustahil bagi Menteri Wilayah Persekutuan, sekurang-kurangnya 50 ribu dos vaksin dapat dibeli dan didahulukan kepada para petugas barisan hadapan di Kuala Lumpur yang senantiasa terdedah dengan risiko jangkitan wabak itu,” tambah beliau.

Katanya, Kuala Lumpur adalah antara negeri yang tinggi kes Covid-19, justeru perlindungan berbentuk vaksin ini wajar diberikan dengan kadar segera.

“Antara perkara utama yang perlu difokuskan sekarang bukanlah pembangunan atau projek baharu tetapi kebajikan rakyat yang terabai akibat pandemik Covid-19 dan juga perlindungan dari wabak itu,” katanya.