Menteri Wilayah Persekutuan melawat tapak runtuhan kondominium Taman Desa

Menteri Wilayah Persekutuan melawat tapak runtuhan kondominium Taman Desa

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad melawat tapak runtuhan pembinaan kondominium di Taman Desa, Kuala Lumpur pagi ini.

Turut serta bersama beliau adalah Datuk Bandar, Datuk Nor Hisham Dahlan dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Khalid Samad mendengar taklimat berhubung kejadian runtuhan kondominium yang berlaku 3.00 petang semalam

Runtuhan yang berlaku melibatkan kawasan tempat letak kereta di tingkat enam bangunan, dan berikutan insiden itu pembinaan projek kondominium berkenaan dihentikan serta-merta, sehingga siasatan selesai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

DOSH telah diarahkan untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca runtuhan, dengan siasatan akan segera dilakukan esok dan punca kejadian dijangka diketahui dalam tempoh satu bulan.

Semalam kira-kira jam 3.00 petang sebahagian struktur kondomunium 37 tingkat yang dalam pembinaan runtuh menyebabkan beberapa mangsa dikesan terperangkap dalam runtuhan itu.

Bagaimanapun, mangsa telah berjaya dikeluarkan dari runtuhan iaitu pekerja warga asing berusia 26 tahun itu, dibawa keluar dari kawasan runtuhan oleh pasukan penyelamat kira-kira 9.30 malam tadi.

Manakala seorang lagi mangsa berusia 30 tahun ditemui di tingkat satu runtuhan dan dibawa keluar pukul 5.15 petang semalam.