Hati wanita manakah yang tidak hancur berkecai apabila menyedari dirinya masih dibenci mentua walaupun sudah melayari bahtera rumah tangga selama 17 tahun.
Menamatkan zaman bujang bersama pasangannya atas dasar suka sama suka, wanita bernama Yana itu rupanya tidak pernah mendapat restu daripada keluarga suami.
Dilahirkan dengan kulit yang agak gelap, mentua Yana malah tergamak menyamakannya dengan tahi cicak sekiranya berdiri bersampingan bersama anak mereka.

Sentiasa berdoa agar dirinya diterima dengan ikhlas suatu hari nanti, berikut perkongsian Yana yang masih hidup menderita meskipun sudah berkahwin selama 17 tahun.
“Ibu mentua saya ini duduk di selatan Malaysia. Saya pula dari Utara. Terus terang, saya bukanlah menantu pilihan. Ibu mentua merasakan anaknya terlalu segak dan saya tak layak. Saudara-mara dan adik-beradik kepada ibu mentua menggelarkan saya ‘menantu yang paling tak lawa’.
“Suami ada 5 orang adik beradik lelaki. Kesemua menantu ibu mentua orang luar. Jadi memang putih-putih, cantik-cantik dan hidung terletak. Agaknya sepadanlah dengan anak-anak ibu mentua saya ini yang dikatakan ‘ada rupa dan pelajaran’. Saya ini hanyalah wanita biasa and berkulit hitam manis.
“Ibu mentua memandang saya dengan penuh rasa hina. Dia kata kalau dipakaikan tanda hitam di dahi saya, mesti seperti orang India. Disulami dengan ketawa kecilnya. Tergamam dan terkedu saya. Tak tahu nak husnuzon macam mana. Mak mertua hanya berani berkata bila ada saya dan dia sahaja. Kalau ada suami, tak pernah ibu mentua nak memerli saya.
“Saya memang jenis diam. Tak menjawab. Setiap kali kami berjumpa, ada sahaja kata-kata perlian, cacian dan hinaan akan dilemparkan. Hina sangatkah orang berkulit hitam? Saya rasa suami juga bukanlah orang buta. Dia memilih saya sebagai isteri mestilah ada kelebihan dan keindahan kita tersendiri.
“Saya mengadu dengan suami dan dia juga pernah minta ibunya agar menjaga tutur kata dengan alasan, isterinya seorang yang sensitif. Suami cakap tak payah ambil hati. Tetapi kita ini perempuan. Kita boleh tahu orang itu suka atau tidak. Anak menantu lain, yang cantik dan putih itu ada ke bantu jaga ibu? Yang hitam ini jugalah menjaganya apabila diperlukan.
“Saya tak berkira, cuma tak faham. Kita solat, berzikir dan memohon keampunan. Tetapi kenapa dalam masa yang sama, kita menyakiti dan menghina ciptaan Allah? Boleh kata apa yang saya buat, semua nampak salah di sisi ibu mentua. Saya tak tahu nak husnuzon macam mana lagi. Dikatakan macam taik cicak bila saya berada di samping suami. Saya terlalu kurus, lemah lembik. Semuanyalah dijadikan isu.
“Pada suatu hari, saya demam. Saya dikatakan tak pandai jaga diri. Ya Allah, salahkah saya demam? Diri ini terlalu penat kerana harus melayannya yang datang enam bulan di rumah saya. Rupanya saya mengandung and akhirnya gugur (mungkin kerana tertekan). Ibu mentua ini kalau boleh, nak saya sihat selalu agar dapat menjaga cucu dan anaknya dengan baik.
“Saya husnuzon lagi. Mungkin dia nak jadikan saya sosok ibu yang terbaik dan kuat semangat. Itu sahajalah yang selalu saya terapkan dalam diri. Saya tidak pernah mahu berdendam. Cuma saya sekarang dalam tempoh berkecil hati selepas keguguran tempoh hari. Mungkin kerana saya terlalu tertekan ketika itu.
“Ketika ibu mentua duduk di rumah, saya dah rasa seperti orang gaji. Menyediakan makan dan minum setiap pagi, petang, serta malam. Tetapi tidak mengapalah, saya fikir itu sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai menantu untuk melayan ibu mentua. Saya menyantuninya, saya berusaha.
“Namun kadang-kadang gugur juga air mata apabila usaha dan penat lelah kita, orang tak hargai walaupun sudah 17 tahun berlalu. Isu hitam, tak cantik dan tak lawa itu pasti akan timbul setiap kali kami berjumpa. Ya Allah, lembutkan hati keluarga suamiku agar dapat menerima diri ini seadanya.
“Doakan saya agar dipermudahkan, sentiasa berlapang dada dan menganggap ini sebahagian ujian. Aamiin. Saya memohon agar kita semua diberi kesedaran agar jangan menghina menilai seseorang daripada fizikalnya. Hitam, pendek, gemuk, kurus dan bongkok itu semua ciptaan Allah Maha Esa.” Kongsi Yana.
Baca juga: Lelaki menyesal makan salji, dijangkiti penyakit ini selama 8 hari – “Biasalah melayu”