“Mentua rampas ayam dari pinggan suami bagi pada anak lain, hancur hati aku bila tahu punca sebenar”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak dapat menahan sebak ketika melihat suami yang sebelum ini terlihat gagah tiba-tiba menitikkan air mata ‘jantan’ di dalam pelukannya.

Tidak mendapat belaian insan yang bergelar ibu, hati wanita itu hancur saat mengetahui punca sebenar suaminya menerima layanan buruk daripada keluarga.

Berikut kami kongsikan luahan wanita yang memerlukan kekuatan untuk menghadapi ujian rumah tangga selepas bernikah pada tujuh tahun lalu.

“Aku dan suami dikurniakan dua orang cahaya mata. Alhamdulillah, rumah tangga yang dibina selama tujuh tahun ini bahagia. Tetapi, kehidupan kami terganggu dengan masalah orang lain. Gaji aku dan suami ini tidaklah besar sangat. Cukup-cukup makan sahaja, sebab buka perniagaan sendiri.

“Dari hari pertama perkahwinan, aku banyak makan hati dengan keluarga mentua. Suami aku anak kesembilan daripada 13 adik-beradik dan bukanlah datang dari keluarga berada. Ya, suami aku tak mampu bagi wang tunai macam anak-anak lain pada setiap bulan.

“Tetapi, setiap kali kami ke rumah mak mentua, mesti suami bagi RM30 atau RM50. Kami pergi pula dalam empat hari sekali sebab jarak rumah dekat sahaja. Ahli keluarga lain tak nampak itu, masih kutuk-kutuk suami aku dari belakang. Sebab jenis dia, bila bagi duit diam-diam sahaja. Tak kecoh dalam group keluarga. 

“Bila kami tiada duit pun diam sahaja, tak minta dengan sesiapa pun. Masalah sekarang, kami tak meminta-minta pun salah. Keluarga dia ingat bila kami tak minta duit, maknanya kami banyak duit. Mereka cakap suami sengaja tak mahu bagi wang pada ibu mertua aku.

“Keluarga dia ingat hidup kami mewah sebab tengok aku beli mainan macam-macam dekat anak-anak, dapat beli makanan yang sedap-sedap. Mereka sangka kehidupan kami tiada masalah. Sebenarnya kami ada sahaja masalah. Cuma kami tak tunjuk, mana ada manusia di muka bumi ini yang tiada masalah.

“Sekarang kepala suami aku sakit sangat. Ibu mentua minta tanggungkan kos majlis perkahwinan untuk tiga orang adik-beradiknya pada tahun ini dan tahun depan. Siap suruh sponsor RM8,000 untuk renovate rumah. Mentua nak tambah bilik untuk adik-adik yang nak kahwin itu. Suami dah cakap, nak kahwin biarlah mereka usaha sendiri.

“Sampai bila nak kena tolong. Nanti lepas kahwin, ada anak takkan suami aku juga kena tanggung. Lepas suami cakap macam itu, mak mentua aku terus tak layan kami dengan mesra dah. Padahal sepanjang kami berkahwin, suami aku kalau tiada duit atau tak cukup apa-apa ke tak pernah meminta dengan mak mertua.

“Adik-beradik dia yang lain kalau bagi duit, selepas seminggu dua mesti minta pinjam balik dengan mak mertua. Itu yang mak mentua ceritalah dekat kami. Tetapi setiap kali rumah mentua ada kerosakkan apa-apa, memang suami aku yang kena baiki. Kalau tak dapat tolong dengan duit, tolong dengan tenaga.

“Suami aku ada seorang abang yang duduk di rumah mak mertua. Dia hanya tahu tidur, makan, minta duit, dan mengarah sahaja. Dia juga termasuk dengan tiga orang nak kahwin itu. Abang suami aku ini suka marah-marah, terutamanya bila mak mentua aku masak. Kalau tak kena dengan selera dia memang dia membebel tak berhenti. 

“Ada dekat rumah tetapi tiada function, ada hati pula nak kahwin. Walaupun perangai abang dia macam itu, mak tetap sayang dia. Pernah sekali masa kami makan sama-sama, suami ambil ayam bahagian yang abang ipar aku suka. Tetapi mak mertua ambil balik ayam itu dari pinggan suami aku. Mak mentua cakap, ‘ini bahagian abang’ dan simpan.

“Bila suami minta mak mentua masakkan makanan kesukaan dia, macam-macam alasan dibaginya sebab tak mahu buat. Kadang-kadang, anak rindu masakan ibu. Sebab itu suami aku buat permintaan. Sekarang dah seminggu tak pergi rumah mak mertua. Kali terakhir pergi, ibu mentua macam layan tak nak layan sahaja kami anak beranak.

“Salam pun tidak disambutnya. Bila bercakap, ibu mentua sindir-sindir sahaja sebab suami aku tak nak tanggung anak-anak dia nak kahwin. Suami aku sedih sangat. Suami cakap dia berdosa sebab kecikkan hati mak. Semalam dia nangis sambil peluk aku. Dia rasa dah tak mampu nak puaskan hati mak. 

“Dari kecil lagi suami tak disayangi macam anak-anak lain sebab dia gelap sikit dari adik-beradik yang lain. Kalau makan ke apa, mesti dia yang terakhir sekali dapat. Kuat dia menangis masa itu. Aku sendiri pun terkejut tengok dia nangis macam itu sekali. Dengan aku-aku sekali pun menangis.

“Dia siap ajak aku pindah duduk luar negeri biar jauh. Betul orang cakap, dekat bau busuk, jauh bau bunga. Doakan kami kuat.” Luah wanita tersebut menerusi platform di atas talian.

Baca juga: “Pengarah suruh saya masuk bilik untuk pakai baju seksi…” – Sarimah dedah jadi mangsa gangguan seksual masa aktif jadi pengacara