Menuduh tanpa bukti, MP Pas tarik balik dakwaan kerajaan sokong LGBT

Oleh KIM SYAZIE

Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor menarik balik kenyataannya yang mengaitkan perarakan Hari Wanita di ibu negara dengan gerakan ‘LGBT’.

Dalam kenyataan yang sama, Wan Razali turut mendakwa bahawa kerajaan menyokong gerakan songsang itu dengan meluluskan perarakan berkenaan.

Wakil rakyat PAS itu membuat dakwaan tersebut ketika perbahasan sesi penggulungan Kementerian Perpaduan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul kemudian mempersoalkan dakwaan Pengarah Jabatan IT dan Dataraya PAS Pahang itu.

Johari berkali-kali bertanya sama ada Wan Razali yakin bahawa perhimpunan itu ada kaitan dengan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Saya tanya adakah perarakan itu LGBT atau tidak? Kalau ya saya akan semak dan kalau bukan, kamu akan dikenakan tindakan,” soal Johari.

“Saya tidak pasti,” jawab Wan Razali sebelum diarahkan oleh Speaker Dewan Rakyat untuk menarik semula kenyataan itu.

“Saya tarik balik.” Katanya yang sedar bakal dikenakan tindakan sekiranya membuat kenyataan yang bertentangan dengan keadaan sebenar.

Dalam pada itu, ahli parlimen dari blok kerajaan, Sim Tze Tzin turut mencelah dengan menyifatkan bahawa kenyataan Wan Razali itu berunsur fitnah.

Hal ini kerana, pihak polis tidak akan membuat siasatan sekiranya kerajaan mengizinkan perarakan itu diadakan.

“Jangan tuduh kerajaan beri sebarang permit, pembangkang sering kaitkan dengan tindakan kerajaan. Itu kerja NGO.” Kata Ahli Parlimen Bayan Baru itu.

Baca juga: Koma akibat ‘dibelasah’ suami, wanita sah bercerai secara fasakh