Malaysia Dateline

Menuju pembangunan komuniti ASEAN, AMS perlu fokus kukuh perpaduan serantau

 

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berpandangan, ASEAN Members States (AMS) perlu memberi fokus kepada usaha memperkukuh perpaduan serantau sebagai langkah ke arah pembangunan komuniti ASEAN.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, Mohamad berkata, sebagai langkah ke arah pembangunan komuniti ASEAN, AMS juga perlu saling melengkapi antara satu sama lain.

Mohamad menyuarakan pandangannya itu sebagai tanda sokongan kepada tema ASEAN Vietnam 2020 iaitu ‘Cohesive and Responsive’.

“Beliau (Mohamad) mengiktiraf inisiatif dan pencapaian Retreat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) serta menyatakan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Vietnam pada tahun ini, inisiatif sedia ada akan diteruskan.

“Peluang kerjasama baharu juga akan diteroka bagi meningkatkan prestasi dan sumbangan ADMM dalam memastikan keselamatan, keamanan dan kestabilan serantau,” kata kenyataan itu sempena mesyuarat Retreat ADMM yang diadakan di Melia Hanoi Hotel, Hanoi, Vietnam, pada Rabu.

Mohamad Sabu berbual mesra bersama rakan sejawatannya Menteri Pertahanan Jeneral Ngo Xuan Lich,.-Foto Mindef.

Mesyuarat tersebut telah dihadiri lapan Menteri Pertahanan negara anggota ASEAN.

Kenyataan itu memaklumkan, Mohamad turut menyuarakan kepentingan supaya ASEAN meningkatkan keupayaan untuk mengadaptasi Revolusi Perindustrian keempat (Fourth Industrial Revolution).

“Menyedari cabaran ini, Menteri Pertahanan memaklumkan hasrat Malaysia untuk membina kesedaran dan menyemai budaya keselamatan siber serta norma positif.

“Ianya melalui kumpulan kerja pakar ADMM-Plus mengenai keselamatan siber yang dikenali sebagai ADMM-Plus Experts’ Working Group on Cyber Security (ADMM-Plus EWG on CS) yang dipengerusikan secara bersama antara Malaysia dengan Korea Selatan dari tahun 2020 hingga 2023.

“Ia bertujuan untuk mengurangkan jurang pengetahuan, kesedaran dan keupayaan dalam domain siber dalam kalangan negara ASEAN dan negara-negara Plus,” katanya kenyataan itu lagi.