Malaysia Dateline

Menuju PRU15: Sanggupkah Pas beralah dalam rundingan kerusi?

Tidak lama selepas Anwar Ibrahim mengumumkan memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen sekali gus menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin jatuh, Pas tanpa menunggu lama telah mengeluarkan kenyataan balas.

Antara pimpinan Pas paling awal memberi kenyataan adalah Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata semua ahli Parlimen parti itu tidak bersama Anwar.

Jika dirujuk kebanyakan portal yang menyiarkan kenyataan ahli Parlimen Kubang Kerian itu, pasti tertera frasa ‘kenyataan rasmi akan dikeluarkan’ yang menunjukkan pandangan yang dikemukakan adalah reaksi spontan tanpa mendapat penjelasan yang menyeluruh.

Dalam kalangan pemimpin Umno pula, Ketua Pemuda, Asyraf Wajdi Dusuki pula bersikap lebih agresif berbanding Presiden, Ahmad Zahid Hamidi.

Jika Asyraf menimbulkan kecurigaan terhadap Anwar yang mengumumkan sokongan majoriti itu ketika Yang di-Pertuan Agong (YDPA) masih menjalani rawatan kesihatan, Zahid pula lebih terbuka apabila tidak menghalang mana-mana ahli Parlimen Umno dan BN yang ingin menyokong Anwar.

Sikap Zahid terhadap Perikatan Nasional memang sudah dimaklumi apabila mengumumkan pada 30 Julai bahawa Umno tidak menyertai blok politik parti pemerintah pimpinan Muhyiddin itu.

Berbeza pula dengan Pas yang tanpa segan silu mengakui secara terbuka bahawa parti itu menyokong Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional. Sikap ini boleh dilihat pada kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang pada 23 September lalu.

Pada pandangan umum, memanglah sikap Pas ini dianggap terpuji. Utamakan setiakawan dan teguhkan muafakat. Tetapi hakikatnya lambat laun, parti ini akan lemas dan lelah menanggung beban yang dibawa oleh kedua-dua pihak.

Ketika ini, hubungan yang disifatkan ‘makan dua kolam’ ini memanglah nampak seperti memberi keuntungan yang mewah kepada Pas.

Parti ini bukan sahaja berjaya menarik sokongan daripada ahli-ahli Umno tetapi juga peroleh jawatan menteri, timbalan menteri, senator dan lambakan ghanimah dalam GLC di peringkat persekutuan dan negeri hasil daripada sokongan Langkah Sheraton pada Februari lalu.

Tetapi retak awal sudah kelihatan pada Muktamar Tahunan Pas yang berlangsung dua minggu lalu di Kelantan.

Dalam kekecewaan yang tidak dapat ditahan kerana disisihkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari itu telah mencadangkan supaya parti itu diberi mandat penuh untuk bertanding di semua kerusi Parlimen di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Cadangan tersebut direspon oleh Pengerusi Umno Perlis, Shahidan Kassim apabila menyatakan polemik agihan kerusi tidak wajar dibincangkan lagi pada masa PRN masih berlangsung di Sabah.

Hal ini turut diulas oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yang menyifatkan cadangan tersebut sebagai tidak adil di samping menyindir bahawa Umno akan ‘tutup kedai’ di negeri-negeri itu jika Pas terus berkeras.

Setakat ini, walaupun cadangan tersebut masih boleh mencetuskan polemik atau konflik yang berterusan. Tetapi situasi akan menjadi lebih rumit dengan kehadiran Bersatu yang sudah pasti akan turut sama menuntut kerusi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ketua Bersatu Terengganu, Razali Idris antara yang terawal menuntut parti itu diberikan laluan bertanding dua kerusi Parlimen dan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU nanti.

Persoalannya, adakah Pas dengan mudah akan meminjamkan kerusi yang dimiliki kepada Bersatu? Jika ditanya kepada Umno sudah tentu permohonan itu akan ditolak sementelah kedua-dua parti beridentitikan Melayu ini tidak berada dalam satu blok yang sama.

Harus diketahui bahawa Pas adalah parti yang begitu mudah menunjukkan kesetiaan yang teguh pada peringkat awal. Samalah keadaannya seperti bersama Pakatan Rakyat dahulu.

Akan tetapi selepas menikmati hubungan politik gabungan yang agak lama, Pas akan mula menunjukkan sikap berbolak-balik, membuka kitab-kitab lama mencari kes-kes yang boleh memecah-belahkan gabungan yang didokong bersama.

Dahulu, selepas lelah bersama dengan Pakatan Rakyat apabila masih gagal menawan Putrajaya pada PRU ke-13, Pas menjadikan isu Hudud bagi mencucuh bara terhadap rakan sekutu seperti DAP.

Kali ini dalam situasi Pas duduk dalam dua kolam iaitu bersama Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional, hampir pasti bahawa situasi yang sama akan berlaku. Pas tidak punya banyak pilihan lagi untuk beralah selepas dikecewakan dalam PRN Sabah.

Apatah lagi, setakat ini, antara kedua-dua blok politik parti pemerintah ini dan Pas belum mempunyai logo yang akan sepakat dipakai semasa PRU akan datang, maka senario pertindihan kerusi sukar untuk dielakkan.

Begitulah yang berlaku semasa PRU13 apabila terdapat pertindihan kerusi antara Pas dan PKR di Parlimen Labuan, DUN Sungai Acheh (Pulau Pinang), DUN Panti (Johor), DUN Kota Damansara (Selangor), dan tiga di Terengganu iaitu DUN Kota Putera, DUN Seberang Takir dan DUN Bukit Besi.

Jika hal yang sama berulang dalam PRU akan datang, hampir pasti Pas akan terus mengulangi identitinya sebagai parti yang paling banyak keluar masuk dalam gabungan politik.

 

*Penulis boleh dihubungi melalui [email protected]