Malaysia Dateline

Menukar tapi tak bertukar, mengubah tapi tak berubah?

PILIHAN Raya Umum Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah ke-16 (PRU Sabah) atau ada yang menyebutnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah berlangsung dengan lancar pada 26 September lalu di tengah-tengah ancaman Covid-19.

Tanpa mahu mengulas kemelut pemilihan Ketua Menteri yang baharu sekarang, saya bersetuju dengan pendapat rakan bahawa rakyat Sabah telah membuat pilihan, dan keputusan mereka perlu dihormati.

Benar rakyat Sabah telah membuat pilihan, dan pilihan mereka itu perlu dihormati. Soalnya, adakah keputusan mereka itu benar serta tepat, dan memang amat perlu dihormati?

Terdengar lagi gema ‘wang ialah raja’, sementelah ketika kempen rancak dijalankan, ada kes pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua anggota keselamatan sedang mengedarkan wang kepada orang ramai. Apabila ditanya, mereka memberitahu wang itu pemberian Umno. Itu yang diketahui dan dilaporkan.

Barangkali banyak lagi yang tersembunyi atau disembunyikan. ‘Tumbuk rusuk’ atau rasuah dan yang popular sebutannya tidak lama dahulu, ‘politik wang’ masih berlaku biarpun nama agensi pencegah jenayah ini bertukar dari Badan Pencegah Rasuah kepada nama sekarang sejak pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, serta Ketua Pesuruhjaya bertukar ganti.

Bukan fitnah, bukan tohmah. Seluruh dunia sudah tahu Umno parti tua yang korup. Baik dalam Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN), Umno tetap Umno.

Meskipun telah sekelambu dengan PAS, tetapi ia tidak menjadi suci, sebaliknya mencemarkan parti yang membuka keahlian hanya kepada umat Islam tanah air itu hingga beralih arah 360 darjah.

Pas tidak (gagal) mengubah Umno, tetapi Umno yang mengubah PAS hingga merelakan apa sahaja tindakan Umno kini, malah padu menyokong calon PN, BN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Bersatu Sabah (PBS), dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) yang disebut Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam PRU Sabah, meskipun dimalukan kerana tidak diberikan satu kerusi bertanding pun.

Rakyat Sabah mahukan perubahan hingga memilih GRS? Benarkah PN, BN, PPBM, PBS, dan Star rela berjuang untuk rakyat Sabah hingga menamakan diri mereka sebagai gabungan tersebut?

GRS berjaya memenangi PRU/PRN Sabah itu dengan majoriti mudah. Daripada 73 kerusi, GRS memperoleh 38 kerusi. PN mendapat 17 kerusi, BN 14 dan PBS pula tujuh kerusi. Calon Star tewas.

Warisan Plus yang terdiri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) memenangi 32 kerusi.

Warisan (termasuk DAP) memperoleh 29 kerusi. UPKO pula cuma memenangi satu kerusi, sementara PKR mengekalkan dua kerusi yang dimenanginya sebelum ini. Calon-calon USNO tewas.

Memang rakyat Sabah telah mengubah dari Warisan ke GRS. Namun begitu, mereka tidak berubah, dan mengubah Sabah. Mereka telah menukar Warisan ke GRS. Walau bagaimanapun, mereka tidak bertukar, dan menukar Sabah.

Dengan memilih GRS yang ada PN dan BN yang dibarisi Umno, MCA dan MIC, budaya buruk lapuk (akan) berterusan. Parti rasuah tetap dijunjung. Rasuah sudah tidak menjadi masalah/kesalahan besar lagi sekarang.

Tidak keterlaluan juga dikatakan PN bertahan kerana Covid-19. Wabak pandemik maut itu menyebabkan pemberian Bantuan Prihatin Nasional (BPN) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Memang tidak semua rakyat memperoleh wang BPN, tetapi pengaruhnya besar kepada semua rakyat.

Lantaran BPN, Kerajaan PN disanjung-sanjung sebagai kerajaan yang prihatin. Promosi dan propaganda merebak dari mulut ke mulut.

Pengaruh tersebut turut dirasai di Sabah. Justeru, Warisan tertolak. Itulah yang dikatakan menukar, tetapi tidak bertukar; mengubah, tetapi tidak berubah.

Seperkara lagi yang dipersoal ialah GRS belum berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Namun begitu, jika hal ini dipertikai, tentu pemimpin dan penyokong GRS akan membidas mengatakan Pakatan Harapan (PH) juga tidak berdaftar.

Usahlah bersikap double standard. Kalau untuk diri sendiri (GRS) boleh, tetapi untuk pihak lain (PH) tidak boleh.