Malaysia Dateline

Menunggu pemimpin pandemik

Kita sedang menelan hakikat yang masih terlalu jauh dari berhasil dalam melawan pandemik Covid-19. Melintasi tahun kedua sejak wabak menular dahulu, memulihkan kembali kehidupan baik dari sudut kesihatan awam, sosial, dan ekonomi nampaknya sedang terbantut.

Hampir kesemuanya disebabkan oleh kekeliruan masyarakat dalam menilik keadaan, dan hampir kesemuanya adalah berpunca dari kegagalan mengurus politik.

Kita tiada pemimpin untuk diyakini dalam menghadapi pandemik ini; maka seperti kapal tanpa nakhoda, kita akan terus dipukul badai dan gelora lautan tanpa arah tuju, mungkin hanya menunggu karam.

Hidup dalam zaman pasca kebenaran atau post- truth, letaklah apa sahaja hakikat dan fakta di hadapan mata, tiada siapa yang mahu percaya. Boleh jadi ianya memang bertitik dari betapa kusutnya jaringan maklumat yang dimuntahkan ke dalam ruang internet.

Akibatnya, keadaan menjadi semakin mengelirukan – boleh jadi juga kerana memang masyarakat sudah lama hilang keyakinan dengan ‘kebenaran’ yang selalunya terkait dengan autoriti.

Sewaktu dunia masih belum sepenuhnya memahami apa yang sedang berlaku, semua orang mencari jawapan bagaimana untuk menghindari penularan wabak.

Maka kita dinasihatkan untuk memakai pelitup muka selain menjaga jarak. Ini saranan asas paling awal yang diberi kepada kita dari autoriti seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan (KKM). Adakah ia dipatuhi sepenuhnya? Tidak juga.

Segelintir masyarakat meremehkan saranan tersebut walaupun ia bukan perkara yang berat untuk diamalkan. Mereka ini menganggap saranan tersebut sebagai keterlaluan dan menyekat kebebasan individu.

Ini tidak akan berlaku sekiranya tiada tulang belakang yang menggalakkan sikap begini wujud, selalunya tidak lain adalah pemimpin politik.

Di Amerika Syarikat (AS) misalnya, mantan presidennya sendiri, Donald Trump menjadi individu paling kuat menyelar pemakaian pelitup muka. Hasilnya, sikap tersebut menjadi norma yang diterima ramai.

Di Malaysia, perkara yang sama – segelintir pemimpin kita tidak menunjukkan sebarang teladan yang baik dalam mematuhi saranan asas tersebut. Lebih memberangkan apabila rakyat biasa mula dihukum apabila berlaku pelanggaran, sedang pemimpin bebas berdalih.

Begitu juga dengan perintah pengasingan diri atau kuarantin apabila pulang dari luar negara atau kawasan berisiko tinggi – ada sahaja alasan yang ditabur untuk meloloskan diri, sehingga menyebabkan berlaku lagi penularan yang seharusnya boleh dielakkan.

Tambah malang, sekali lagi darjat main peranan apabila pemimpin yang langgar perintah ini seakan-akan tidak kena apa-apa, sedang rakyat biasa terus menerus dihukum dengan berat.

Apabila kita diarah untuk tidak merentas daerah, tidak merentas negeri agar wabak boleh dibendung – pemimpin atas kita sendiri masih bebas ke luar negara beralasankan sebab-sebab yang tidak relevan.

Jadi, apakah rakyat masih boleh dipersalahkan apabila mereka ikut untuk ingkar? Ini belum ditambah dengan kecurangan senyap penguatkuasa undang-undang yang membenarkan rentas negeri itu sendiri.

Jika tiada yang sewenang-wenang menurunkan cop ke atas surat kebenaran rentas negeri, tidak mungkin lebuhraya Karak boleh sesak menjelang hari raya bukan?

Apabila dunia memperlihatkan peluang terbesar untuk dengan lebih berkesan melawan pandemik ini melalui vaksinasi – yang secara saintifiknya adalah satu-satu jalan keluar yang ampuh, kita sekali lagi diuji dengan kerenah pemimpin yang tidak langsung meyakinkan.
Sewaktu pandangan anti vaksinasi yang dahulunya dianggap minoriti kini makin membimbangkan, pemimpin kerajaan bertaraf Timbalan Menteri muncul menyambung lidah songsang teori konspirasi anti vaksinasi.

Ramai yang percaya kalau kepincangan politik kita yang membawa negara kepada ketidaktentuan ini – ini amat benar namun bukan bererti kita harus hentikan politik.

Sebab itu, sewaktu darurat diumumkan, ramai juga yang bersorak-sorai – kononnya darurat ke atas politik ini akan akhirnya memberi peluang untuk kita mencari jalan keluar.

Tanpa politik, kita boleh tumpukan perhatian dalam usaha-usaha memulihkan negara. Ini pandangan yang silap. Untuk menguraikan kekusutan kita ini bukan dengan tidak berpolitik, sebaliknya dengan berpolitik secara betul.

Demokrasi adalah asas kepada semak imbang dalam zaman musibah. Parlimen di United Kingdom sendiri tidak pernah digantung hatta sewaktu Perang Dunia Kedua mahupun Spanish Flu, kerana setiap keputusan oleh kerajaan perlu dibincang secara tuntas, bukan diputuskan oleh sekerat dua pemimpin ‘kepala tau’.

Di dalam zaman pasca kebenaran ini, biarlah kita sekurang-kurangnya mampu untuk terima dan meyakini satu kebenaran – bahawa kerajaan kita telah gagal, dan pemimpin kita tidak mampu lagi membawa kita keluar dari keadaan ini.

Kita tidak boleh tidak harus terima hakikat yang kita memerlukan kepimpinan lain yang boleh kembali diyakini. Kapal yang sedang dilanda badai ini perlukan seorang nakhoda baru yang tahu ke mana nak dituju, bukan nakhoda yang hilang menyorok di sebalik tangga istana.