Malaysia Dateline

Menuntut peranan AMANAH mendamaikan krisis dalaman PKR

Menjelang PRU14, soal siapa calon perdana menteri sekiranya BN dapat ditumbangkan menjadi perdebatan hangat.

Walaupun pada mulanya nama Dr Mahathir Mohamad bukanlah pilihan utama, tetapi siapa lagi yang lebih sesuai? Anwar Ibrahim masih dalam penjara. Dr Wan Azizah Wan Ismail kurang sesuai. Begitu juga dengan Muhyiddin Yassin, meskipun berpengalaman menjadi timbalan perdana menteri.

Di lapisan kedua, terdengar juga ura-ura agar jawatan no 1 dan no 2 diisi oleh personaliti lebih muda, di kalangan timbalan-timbalan presiden, iaitu Azmin Ali dan Mukhriz Mahathir, tetapi ia tidak pernah dipertimbangkan.

Umumnya jawatan strategik itu berlegar di kalangan dua parti komponen Pakatan Harapan iaitu Bersatu dan PKR. DAP dianggap terkeluar daripada perbincangan kerana ia dianggap parti dominasi kaum Cina, biarpun keanggotaannya terbuka. AMANAH pula dilihat parti kecil dan tidak menonjolkan tokoh-tokoh hebat bertaraf negarawan.

Namun, dalam keadaan begitu, yakni AMANAH tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam “perebutan” siapa sewajarnya menjadi calon PM, maka ia lebih bebas bersuara.

Mohamad Sabu dilihat boleh berperanan bagi meredakan konflik dalaman PKR.

Difahamkan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, selesa untuk mencadangkan siapa sahaja yang difikirkan berwibawa dan mampu menarik lebih banyak sokongan. Parti itu tidak perlu bimbang dilabelkan apa-apa tanggapan negatif kerana ia sendiri tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi.

Wan Azizah, Presiden PKR pasti sahaja dianggap memihak kepada suaminya, Anwar. Manakala Muhyiddin, Presiden Bersatu, tentu akan lebih cenderung kepada Mahathir, ketuanya sendiri. Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP juga mempunyai “pemberat” tersendiri, tetapi suara Mat Sabu dirasakan lebih “bebas dan jujur”.

Justeru, sokongan Presiden AMANAH itu kepada Mahathir sebagai calon perdana menteri amat membantu kata sepakat dapat dicapai pada 7 Januari 2018 lebih kurang empat bulan sebelum PRU14.

Malah, Mat Sabu sendiri dikatakan begitu selesa untuk berbicara panjang mencadangkan Mahathir kerana tidak terikat dengan apa-apa kepentingan.

Saya mengimbau semula detik-detik kritikal ini apabila memikirkan konflik dalaman PKR yang berlanjutan dengan serius tanpa adanya usaha perdamaian. Tidak syak lagi gejala ini boleh menjejaskan keutuhan kerajaan PH.

PKR merupakan tulang belakang PH jika diukur bilangan ahli parlimennya yang paling ramai, iaitu 50 orang. Jika PKR berantakan tentu sahaja kekuatan PH goyah atau keyakinan rakyat akan merosot.

Tanpa perbalahan dalaman PKR pun, keupayaan PH menghadapi PRU15 diragui, inikan pula apabila parti itu nampak terbahagi dua?

Memang setiap parti komponen PH tidak mencampuri masalah dalaman sekutunya. Parti yang bermasalah diberi ruang selesa untuk mencari penyelesaian tersendiri. Namun begitu, tidaklah sampai krisis dalaman itu dibiarkan sehingga boleh meruntuhkan keutuhan gabungan PH sendiri.

Ataupun sehingga pembangkang dapat meraih keuntungan besar daripada perbalahan dalaman PKR itu. Lebih menggusarkan, ada khabar angin mendakwa kemungkinan proses “kerajaan pintu belakang” juga diusahakan. Tidak cukupkah loceng amaran di Tanjung Piai apabila penyandang, calon PH, kalah dengan perbedaan undi lebih 15,000?

Situasi yang nampak kalut dalam PKR sekarang harus diurus penuh berhemah dan bijaksana. Umpama menarik rambut dalam tepung. Bukan ibarat menang jadi arang, kalah jadi abu. Memang sukar untuk mendamaikan perseteruan yang memecahkan ini, namun demi agenda lebih luhur dan mulia, apatah lagi dalam parti yang asas penubuhannya adalah idealisme reformasi, maka solusi wajib dicari.

AMANAH yang dilihat parti paling stabil dan berdisiplin harus menjadi pendamai dan pengikat. Ia wajar bersuara demi kepentingan bersama. Sengketa berlanjutan hanya mengundang padah dan petaka. Impian dan harapan rakyat untuk melihat Malaysia yang adil dan sejahtera akan berkubur jika benar tempoh hayat kerajaan ini hanya sepenggal. Percakaran sesama sendiri membuatkan rakyat hilang kepercayaan. Kestabilan kerajaan juga terjejas dengan teruk.

Majoriti rakyat sudah menunaikan tanggungjawab dan menunjukkan keberanian menukar kerajaan yang berkuasa selama lebih enam dasawarsa. Tidak mudah mereka membuat pilihan itu. Jangan paksa mereka mengubahnya sekali lagi dalam PRU15. Kini budaya takut telah hilang. Rakyat menjadi pemberani yang sanggup berdepan risiko. Sekali berani menumbangkan kerajaan kleptokrasi, apa yang perlu mereka takutkan kepada penguasa yang belum berkuku pun.

Sebagai bakal perdana menteri, tanggungjawab Anwar lebih besar dan penting. Harapan rakyat juga tertumpu kepadanya. Presiden PKR itu bukan sahaja berdepan krisis dalam parti, malah diasak seribu satu persoalan tentang proses peralihan. Jika upayanya menguruskan parti sendiri menjadi tanda tanya, peluangnya menggantikan Mahathir juga terheret sama.

Tangani masalah berbangkit dalam keluarga PKR ini secara adik-beradik penuh rukun kekeluargaan. Renungi sedalamnya akar atau punca bibit-bibit perpecahan dan keretakan bermula. Anwar bukan pemimpin sebarangan; beliau bertaraf dunia dan sebaris dengan ikon terkenal lainnya. Beliau juga harus berbaik-baik bukan sahaja dengan semua sektor dalam partinya tetapi juga mencakupi setiap komponen PH. Perdana menteri umpama bapa yang adil buat seluruh anggota famili yang besar.

Memang pemimpin AMANAH, khususnya Mat Sabu bersikap lebih berhati-hati. Jarang sangat beliau dilihat cuba campur tangan, tetapi dalam krisis PKR yang tambah memuncak ini, bencana lebih parah mesti disekat. Jika permusuhan tajam Mahathir-Anwar selama 20 tahun dapat ditamatkan demi misi penting buat negara, apakah perselisihan Anwar-Azmin mustahil untuk diredakan?

Bukan sahaja AMANAH perlu bersuara, DAP juga boleh berfungsi untuk menampal bahtera besar yang hampir bocor ini. Bukan sahaja pimpinan tertinggi kedua-dua parti ini harus mendamaikan, malah aktivis PH seluruhnya, termasuk di peringkat akar umbi wajar mempamerkan sensitiviti mereka. Grand coalition ini wajib diselamatkan. Bersegeralah sebelum terlambat.

Konflik dalaman PKR yang berlanjutan dengan serius tanpa adanya usaha perdamaian boleh menjejaskan keutuhan kerajaan PH.