Malaysia Dateline

Menurunkan had umur mengundi langkah tepat, kata Ketua Pemuda PH

Keputusan Kabinet untuk memulakan usaha meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun adalah langkah yang tepat, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) itu  berkata, sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi dengan cara menurunkan umur pengundi kepada 18 tahun akan membawa Malaysia sejajar dengan amalan pilihan raya di kebanyakan negara di dunia.

“Dalam usia 18 tahun adalah usia dewasa dalam perundangan untuk rakyat Malaysia. Pada usia ini, mereka boleh menandatangani kontrak, menyertai tentera dan dijatuhi hukuman mati.

“Sememangnya belia yang berumur 18 tahun wajar diberikan hak untuk mengundi. Ia adalah langkah yang amat tepat untuk Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan dibuat Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semalam, memaklumkan mengenai keputusan kabinet untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangan  turut mengharapkan Kerajaan Persekutuan akan memastikan proses meminda Perlembagaan dilakukan dengan telus, dan konsultasi yang tepat dari semua pihak berkepentingan.

“Setelah semua pandangan dipertimbangkan dan dinilai – kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang di Parlimen harus melakukan pindaan ini tanpa ragu-ragu atau halangan.

“Pihak yang berkaitan juga perlu memastikan proses pengundian akan berlaku dengan lebih mudah untuk semua rakyat Malaysia, termasuk pendaftaran automatik dan mereformasikan proses pengundian pos di luar negara,” ujarnya.

Beliau juga berkata, sudah tiba masanya rakyat negara ini mengambil langkah proaktif proaktif seperti membuka kaunter mengundi di tempat yang tidak konvensional seperti lapangan terbang atau pusat membeli-belah seperti yang diamalkan di negara lain.