Menyambut ulangtahun ke-43 GTE

Menyambut ulangtahun ke-43 GTE

Kawan-kawan mencadangkan supaya saya membuat apa-apa acara atau program menyambut ulangtahun Teater Elit atau Grup Teater Elit (GTE). Sudah beberapa kali dan sudah beberapa tahun mereka mencadangkan. Saya diam saja. Tidak terasa ada sebab atau alasan untuk menyahut cadangan itu.

Tetapi baru-baru ini entah kenapa saya terasa mahu menyambutnya. Tak tahu mengapa. Dan bila diingat-ingat – waktu Grup Teater Elit ditubuhkan dulu pun, kami bukannya fikirkan pun apa tujuan kami menubuhkannya. Kami hanya mahu baca puisi, kerana kami telah banyak menulis puisi.

Saya ingat lagi – sewaktu ada orang atau wartawan bertanya apakah tujuan ditubuhkan grup ini atau dibuat program yang kami buat waktu itu, saya akan pandang Sutung Umar Rs dan Ajikik dan kami pun saling pandang memandang dan kami pun senyum dan ketawa.

“Tak ada tujuan. Saja jer. Suka-suka.” Dan saya ingat lagi bagaimana reaksi mereka yang bertanya. Mereka mengharapkan jawapan bahawa kami buat ini dengan tujuan bla bla bla… yang sebenarnya kami tak fikirkan pun tujuan-tujuan itu.

Dan kemudiannya kami menjawab: “Tujuannya nak buat baca puisi,” atau “Tujuan kami nak adakan persembahan. Itu saja.” Dan panjanglah kisahnya kalau nak diceritakan semula episod awal dalam sejarah kegiatan saya bersama Sutung Umar Rs dan Ajikik membuat baca puisi dan kemudian teater dan lain-lain aktiviti seni-sastera dan seni-budaya itu.

Memang. Berbeza. Waktu itu dengan sekarang. Waktu itu kami beraktiviti tanpa memikirkan tujuan selain dari tujuan nak mengadakan aktiviti dan nak suka-suka, berseronok, dan mendapat kepuasan kerana membuatnya.

“Mengapa pelik kalau buat baca puisi kerana kita suka buat baca puisi?” Sutung tanya. Saya ingat lagi. Dan beberapa tahun awal itu, tahun-tahun akhir 70-an dan awal 80-an, kami memang buat pelbagai aktiviti sastera dan teater dengan semangat suka membuatnya dan selalu ketawa kalau ada apa-apa yang di luar jangkaan dan dugaan kami, samada yang positif mahupun yang negatif.

Teater “Menunggu Kata Dari Tuhan” antara aktiviti terakhir Teater Elit.

Memang kami tak ada sesuatu matlamat besar yang nak kami capai. Kami hanya suka-suka bersastera, suka-suka berpuisi, suka-suka berteater. Dan kami memang suka.

Bermula dengan Sutung, Ajikik dan saya. Kemudian Ajikik mengundur diri, diganti dengan Jaafa HS, dan selain kami bertiga yang kekal ada jugalah beberapa orang lagi yang menyertai kami pada waktu-waktu tertentu, seperti Zubir Ali, Siti Zaleha Hashim, Ahmad Yatim, Usman Awang, dan Nor Azam.

Rogayah Hamid juga ikut dalam beberapa acara GTE. Begitu juga Krishen Jit (mendiang), Rahim Razali dan Faridah Merican. Dan mereka sangat dekat dengan GTE.

Teater Elit mengalami beberapa fasa dalam perkembangannya. Di puncak perkembangannya misalnya pada awal 1980 saya terpaksa memilih meletak jawatan 24 jam daripada DBP untuk tumpu kepada teater. Lalu ada fasa Teater Tari bersama Ali Ishak (Danny), berstudio di Hotel Abad Century.

Beberapa tahun kemudian ada pula fasa “Teater Bujang Lapuk” bersama Aziz HM, Sani Sudin, Usop, Hazali Ramli dan lain-lain, berpejabat di Jalan Raja Abdullah dan latihan setiap malam di Komplek Budaya Negara (KBN, sekarang Aswara).

Dan fasa terakhirnya tinggallah saya bersama Sutung Umar Rs. Dan kami selalu kata: “Ada Sutung, ada Dinsman, ada lah Teater Elit.” Aktiviti kami yang terakhir: teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) dan Tamu Dari Medan Perang (TDMP).

Kemudian Sutung meninggal dunia, kemudian Ajikik juga meninggal dunia. Jaafa HS tinggal di Batu Pahat, tidak aktif lagi.

Kini Teater Elit atau Grup Teater Elit (GTE) hanya tinggal kenangan. Antara yang saya terkenangkan – itulah yang saya tulis di atas itu, betapa berbezanya pemikiran di sekitar aktivisme seni-budaya yang saya anuti, dulu dan sekarang. Maka inilah barangkali sebabnya saya kurang memberi perhatian serius kepada tujuan sesuatu, seperti yang sering terdapat di kalangan kawan-kawan khasnya ilmuwan akademik.

Saya juga kurang serius memberi perhatian kepada hal-hal berorganisasi. Saya lebih serius memberi perhatian kepada aktiviti yang dibuat.

Dan kini terkenangkan aktiviti-aktiviti yang pernah dibuat Teater Elit saya pun terkenangkan kawan-kawan yang pernah bersama dalam aktiviti-aktiviti tersebut. Siapakah lagi yang masih ada?

Oh, baru teringat. Beberapa bulan lalu terjumpa Datuk Goh Hin San dalam satu majlis pelancaran buku oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di ITBM. Dia beriya-iya bertanya mengenai Teater Elit dan mendesak saya buat sesuatu yang istimewa Teater Elit, dia mahu hadir bersama dan mahu sponsor.

Goh Hin San pernah terlibat dalam beberapa aktiviti GTE, bersama saya dan Sutung Umar Rs, sejak dia cikgu di sebuah sekolah di Jalan Ipoh. Kini dia seorang tokoh usahawan dan menjadi Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mungkin kerana desakan Goh Hin San itu juga saya terdorong untuk mengadakan acara sambutan 43 tahun GTE ini. (Dua tahun lalu Nordin Kardi (Tan Sri, Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah) mencadangkan perhimpunan seni yang kami buat di USAS itu didedikasi kepada Sutung Umar Rs. Bukan ulangtahun GTE.)

Demikianlah, mengikut catatan dan dokumentasi simpanan Siti Zainon Ismail, aktiviti pertama GTE berlaku pada 19 November 1976. Manakala kajian ilmiah mengenai GTE dibuat oleh Dr Lena Farida Chin (UPSI). Kalau ada tokoh akademik yang tersalah tulis mengenai sejarah Teater Elit, bolehlah dia merujuk kepada kajian Lena Farida Chin itu.

Maka telah ditetapkan program sambutan GTE 43 tahun ini akan dibuat pada Jumaat 22 November, 8.30 malam. Mengambil sempena acara pertamanya di Sudut Penulis DBP, maka acara sambutan ini juga akan dibuat di DBP. Tiada lagi Sudut Penulis dulu yang terkenal itu, kini diganti dengan Stor Teater.

Suatu iklan Baca Puisi oleh GTE dua minggu sekali di sebuah hotel di Kuala Lumpur, 1978-1980-an.