Malaysia Dateline

Menyelami duka keluarga maut sembilan beranak

Banjir besar di beberapa negeri bukan sahaja menenggelamkan rumah, bangunan tetapi juga seperti telah menenggelamkan berita tragedi ngeri kemalangan jalan raya pada 17 Disember lalu yang meragut sembilan nyawa dari satu keluarga.

Pada malam itu hujan, kereta Proton milik Abdul Razak Majit mengalami kerosakan dekat kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam. Mereka baru sahaja menghadiri majlis keluarga di Melaka.

Norul Naziah Buyong, isteri Abdul Razak serta anak-anaknya terpaksa duduk di dalam kereta ketika itu. Dia memanggil mekanik untuk membaiki kereta yang diparkir di lorong kecemasan lebuhraya itu. Lampu amaran dinyalakan dan kon keselamatan telah diletakkan, kata Abdul Razak kepada kami.

Tetapi kemalangan itu sudah tertulis. Tiada siapa yang mampu menahan. Tidak semena-mena, satu dentuman kuat yang menyebabkan nahas ngeri itu berlaku.

Sebuah treler telah merempuh daripada belakang. Abdul Razak tercampak beberapa meter dari keretanya. Semua ahli keluarga Abdul Razak yang di dalam kereta terkorban. Mekanik yang membantu juga terkorban sama.

Pada malam itu juga hujan tidak berhenti-henti dan air sungai melimpah ke tebing dan memenuhi sebahagian lorong dan jalan-jalan.

Beberapa jam kemudian, air bah semakin meningkat dan sebahagian kawasan telah ditenggelami air. Banyak kereta terperangkap. Ada terpaksa bermalam di jalanraya, pasaraya dan di mana-mana tempat yang selamat.

Pengerusi Jalinan Nusantara Malaysia, Azam Mektar (kiri) mendengar cerita Abdul Razak.

Masyarakat kita memang tidak mampu menampung banyak berita ngeri. Apabila berlaku satu lagi tragedi baru, tragedi yang sebelum itu seperti hilang perhatian umum.

Ketika pasukan kami, Jalinan Nusantara Malaysia hendak ke Jalan Kundang Padang Jawa semasa misi bantuan banjir, pasukan kami terserempak dengan kakak kandung arwah ibu kepada sembilan anak. Muriza Hazrul salah seorang sukarelawan kami mengambil peluang dan mengatur agar kami dapat menziarahi keluarga ini.

Dalam perjalanan kami dari Kampung Bukit Lanchong ke Seksyen 17, Shah Alam untuk misi bantuan banjir, perjalanan kami lancar walau pergerakan kami agak perlahan kerana hujan renyai. Kami singgah ke rumah keluarga tersebut.

Ziarah kami bukan untuk mereka satu hala tetapi ia lebih membekas dan mendidik kami agar lebih mensyukuri takdir dan menjadikan kami lebih memahami hikmah hidup ini.

Abdul Razak Majit, kami temui di rumah mertuanya. Luka di tangan kirinya dapat dilihat. “Selepas kejadian dia memang tidur di sini,” kata ibu mertuanya yang berasal dari Bagan Datoh. Abdul Razak kehilangan isterinya dan sembilan anaknya dalam kemalangan itu.

Pada hari kejadian juga rumah Abdul Razak di Padang Jawa dinaiki air bah. Jika tidak kerana banjir besar yang melanda berita ini pasti lebih menarik empati umum.

Muriza (bertopi) bersama Abdul Razak Majit

Bayangkan dua peristiwa yang dilalui secara serentak oleh Abdul Razak ini cukup-cukup memilukan. Manakala ibu mertuanya pula menanggung kesedihan lebih lagi kerana sebelum ini anaknya juga meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 di Kedah. Dua anaknya meninggal dunia dalam tempoh setahun.

Tidak banyak yang dapat kami bantu, banyak pertanyaan dalam kepala kami dibiarkan tiada jawapan.

Tidak tergamak hendak bertanya. Dari sudut wajah dan lirikan matanya, kami tahu kejadian yang berlaku di hadapannya itu perlukan masa yang lebih panjang untuk menghilangkan trauma.

Kini, daripada sembilan zuriat beliau, yang tinggal hanya seorang sahaja. Sekelip mata beliau menyaksikan sendiri rempuhan malam itu.

Kami akhiri ziarah keluarga ini dengan doa yang dipimpin Ustaz Ridzwan Abu Bakar. Semoga syurgalah tempat mereka itu.

Hujan terus turun rintik dan kami pulang dengan penuh keinsafan.

*DR MUHAIMIN SULAM adalah Penasihat kepada Persatuan Kebajikan Jalinan Nusantara Malaysia. Persatuan boleh dihubungi dengan melayari laman facebook: https://www.facebook.com/Jalinan-Nusantara-107812845102257