Seorang wanita langsung tidak menyangka suami yang disayanginya selama ini rupa-rupanya mempunyai satu sisi gelap menjijikkan.
Meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada suaminya, wanita bernama Kemboja itu mula merasa curiga selepas menerima pesanan misteri dari orang yang tidak dikenali.
Kemboja mulanya menyangka wanita dari negara jiran itu adalah ahli sindiket penipuan kerana individu berkenaan mengancam untuk membongkarkan sisi gelap suaminya.
Namun sangkaannya meleset apabila individu sama memberi bukti berupa tangkap layar memaparkan suaminya yang sedang leka melakukan kegiatan tidak senonoh.
Hilang pertimbangan dalam membuat keputusan, berikut perkongsian Kemboja yang merasa seperti orang bodoh dan keliru selepas diperlakukan suami sebegitu rupa.
“Assalamualaikum semua. Saya berterus terang sahajalah. Pagi tadi, ada wanita daripada negara jiran menghantar pesanan di akaun media sosial saya. Katanya, ada video tak elok melibatkan suami saya. Jika tak nak dia sebarkan, bayar duit sekian-sekian. Saya sangka dia scammer yang hanya mahukan duit.
“Saya mulanya sengaja melayan dan cabar, kalau betul berikanlah. Dengan sangkaan mesti video suntingan. Tiba-tiba dia bagi screenshot (tangkap layar) video. Ya, memang betullah muka suami saya sedang melakukan panggilan video tanpa seurat benang. Ya, saya dapat mengecam lokasi dia buat panggilan tersebut.
“Malangnya saya juga mengecam tanda yang ada pada tubuhnya. Maknanya, bukan edit (sunting). Perasaan saya pada masa itu, memang sangat terkejut. Sempat juga memandang suami yang sedang tidur. Ya Allah, memang bercampur baur rasa. Sampai saat saya menulis ini pun, macam-macam ada dalam hati.
“Rasa kecewa, marah, dan sedih sampai tak tahu nak respon. Tergamam. Dia adalah suami yang baik. Baik serba serbi. Cuma kesalahan kecil-kecil biasa seorang suami. Macam kena suruh buangkan sampah, lepas makan biskut tak tutup rapat, dan tak tadah air lepas mandi. Saya ini percayakan dia 99.9 peratus. Sangat percaya.
“Memang suami ada sebut yang ada orang mengugut nak sebar video dia. Tetapi scammer. Saya pun percaya sahaja. Dahulu pernahlah terbaca Whatsapp dia dengan kawan pasal video tak senonoh ini. Tetapi saya tak suarakan pun kerana anggap itu semua hanyalah sembang biasa antara lelaki.
“Pernah juga terbaca mesej ‘hai’ suami hantar dekat perempuan lain di media sosial. Tetapi setakat itu sahajalah. Mungkin dia sudah padam yang lain. Selalunya, saya akan tegur suami dengan berkias. Contoh baca berita pasal lelaki tengok video tidak senonoh, saya cakaplah mengenai kesan dan bahayanya perkara itu.
“Kalau berita suami curang, saya baca di depan dia. Itu sahaja. Saya tak minat nak mengamuk. Sebab saya ini jenis, kalau suami buat hal dia yang patut rasa bersalah. Dia yang patut rasa serabut. Bukan saya. Saya pun mampu sahaja kalau nak selidik atau memuat naik aplikasi intip. Tetapi saya tak nak sebab percayakan dia.
“Cuma, saya selalu berdoa. Kalau suami ada buat masalah, tunjukkanlah. Inilah Allah sudah tunjuk. Ini pun saya masih berlagak macam tak ada apa. Malam ini saya nak berbincang hati ke hati. Itupun kalau jadi. Sebab kalau kami bergaduh, akhirnya suami akan tetap salahkan saya walaupun dia yang membuat silap.
“Selalunya saya mengalah sahaja. Malas nak panjangkan hal. Cuma saya langsung tiada tempat meluah. Benda ini sangat aib untuk saya ceritakan kepada orang yang dikenali. Cuma perasaan kali ini pelik. Sekejap sedih, nanti membara pula macam nak marah. Selepas itu sakit dada rasa macam ditekan-tekan.
“Saya tak tahulah nak buat apa sebenarnya. Serius rasa macam orang bodoh.” Kongsi Kemboja (bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di sebuah forum popular di atas talian.
Baca juga: “Aku sampai bergaduh dengan suami, adik dia dah setahun duduk ‘free’ kat rumah walaupun ada gaji”