Malaysia Dateline

Meragui kualiti kepimpinan pemuda

Ketika Pakatan Harapan (PH) dilanda pergolakan tentang hala tuju gabungan pembangkang untuk mendepani pilihan raya atau merampas mandat yang dicuri, satu lagi persoalan yang menjadi polemik adalah tentang lapisan kepimpinan parti dan negara.

Kata sesetengah orang, sudah-sudahlah menyebut tentang Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad. Bagi sesetengah orang, dua tokoh pemimpin negara ini sudah tidak relevan lagi dalam lanskap politik tanah air. Kononnya.

Mereka yang entah siapa ini berkata lagi bahawa negara dan parti politik kini perlukan kepimpinan baharu yang lebih segar, dinamik atau dalam bahasa mudahnya, kepimpinan dari golongan yang masih muda.

Ini bukan gesaan atau sesuatu idea baharu. Persoalan yang mendesak kepada perlunya kepimpinan muda semua parti untuk diketengahkan sebagai pemimpin negara sudah acap kali berulang kali dibincangkan, diperincikan dan didebatkan tentang wataknya.

Tetapi sehingga kini juga, bila diminta untuk senaraikan siapa pemimpin muda tersebut, sebenarnya masih agak sukar untuk diketengahkan atau disenarai panjang ketokohan mereka di peringkat nasional.

Bahkan di peringkat parti sekalipun, kebanyakan ahli bukan sahaja belum mengenali hatta langsung tidak merasai kemunculan lapisan kepimpinan pemuda. Ini mungkin sahaja dilema yang berlaku dalam semua parti politik.

Wujudnya kumpulan atau sayap pemuda dalam parti ketika ini pun mungkin sekadar memenuhi syarat perlembagaan parti dan mematuhi kehendak Pendaftar Pertubuhan (ROS) sahaja.

Tetapi hakikatnya, pemuda yang kerap dicanang sebagai jurucakap rakyat paling lantang sebenarnya tiada pun pelan strategik atau hala tuju yang jelas untuk membawa gerakan kepemudaan ke tahap yang lebih tinggi.

Pemuda juga gagal atau mungkin masih belum ada agenda besar untuk membentuk dan mengembangkan budaya politik kepemudaan yang lebih segar, relevan dan mempunyai dinamisme yang meyakinkan. Sebaliknya, wujud pula budaya politik usang yang menjurus kepada sikap perpuakan yang berisiko mencipta perpecahan baharu.

Ada yang cuba bangkit dan bekerja dengan kumpulan masing-masing tetapi penghujungnya tidaklah memberi impak positif kepada kemajuan parti.

Pemuda yang kerap dicanang sebagai jurucakap rakyat paling lantang sebenarnya tiada pun pelan strategik atau hala tuju yang jelas untuk membawa gerakan kepemudaan ke tahap yang lebih tinggi.

Kritikan ini mungkin pedas, dibenci dan sukar diterima. Tetapi seperti ingatan Mahathir semasa menulis buku Dilema Melayu, kira-kira berbunyi begini “tiada permohonan maaf, segalanya ditulis dari hati yang ikhlas”.

Memang agak menjengkelkan bila dibuat perbandingan antara ucapan dan tindakan oleh pemuda. Mungkin ramai pernah mendengar kritikan lantang daripada golongan pemuda tentang budaya subsidi kononnya amalan ini akan melemahkan masyarakat dan menggalakkan pergantungan kepada kerajaan.

Tetapi mungkin ramai juga pernah mendengar betapa terdapat pemuda yang berucap dan menggesa (atau sebenarnya merayu) kepada kepimpinan parti supaya kerusi yang lebih mudah menang diberikan kepada golongan itu untuk ditandingi.

Alasannya, supaya bilangan ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang muda-muda meningkat. Apa guna ada wakil rakyat muda-muda begini mengisi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri kalau kualiti mereka tidaklah teruji dengan betul?

Sewajarnya pemuda ini malu dengan sikap tidak matang yang meminta laluan bertanding di kawasan mudah menang. Sebenarnya permintaan begini, kalau dilayan dan ternyata menang, maka inilah bakal golongan wakil rakyat muda yang mandom.

Mereka tidak hadir sebagai wakil rakyat yang bergelumang dengan masyarakat setempat. Kemenangan mereka hanyalah kerana bertanding di kawasan kubu kuat.

Maka mudahlah kerja mereka kerana tidak perlu banyak berfikir, merancang program dan bertemu rakyat. Maka dari sini pula wujudlah budaya atau label pemuda kaki subsidi dan payung. Sudahnya, tiada beza daya kepimpinan yang lama dan baharu.

Tetapi, bukankah pemuda wataknya pencabar zaman?

Segala kesukaran dan kepayahan adalah makanan ruji mereka. Jika tidak diberikan laluan mudah dalam parti, maka mereka meneroka laluan baharu dalam parti untuk menonjolkan kualiti dan daya kepimpinan unggul mereka.

Pemudalah yang sewajarnya memilih kawasan-kawasan yang sukar menang sebagai satu cabaran untuk mencabar potensi kepimpinan mereka dan melebarkan pengaruh parti dalam kalangan masyarakat di situ.

Pemudalah yang sewajarnya mengenal pasti bentuk kesukaran, halangan dan cabaran di kawasan itu sekaligus mencari jalan penyelesaian untuk membuka peluang kemenangan di situ dalam pilihan raya akan datang.

Pemuda wajar memilih kawasan yang sukar menang sebagai mencabar potensi kepimpinan mereka dan melebarkan pengaruh parti dalam kalangan masyarakat di situ.

Mulakan gerak kerja di kawasan tersebut dari awal. Bukannya bila genderang perang pilihan raya dipalu, baru terhegeh-hegeh mencari dan merayu-rayu supaya diberikan laluan bertanding di kerusi mudah menang.

Anehnya pemuda jugalah yang selalu menjadikan kisah Sultan Muhammad Al-Fatih yang menawan kota Konstantinople melalui strategi paling sukar iaitu dengan menggerakkan kapal-kapal perang melalui gunung-ganang.

Inilah buah paling sedap untuk diulang-ulang dalam program dalaman khususnya parti politik Islam sebagai satu kisah untuk menaikkan semangat para pemuda.

Malangnya bila tiba pada kehidupan sebenar, pemuda jugalah yang mengharapkan belas ihsan pemimpin parti supaya mereka diberikan laluan mudah.

Kalau mahu kerusi mudah menang, masuk pertandingan musical chair, semua orang gembira walaupun ditolak oleh rakan sendiri.

Bak kata pepatah “respect is earned, not given”, kalau diterjemah, bunyinya kira-kira “hormat itu diperoleh, bukan diberikan”.

Bagaimanakah caranya untuk pemuda mendapat penghormatan kalau kewujudan mereka dalam masyarakat pun tidak dirasai?

Pemuda sewajarnya menjadi sayap paling agresif dalam parti dari pelbagai segi. Sebelum permintaan dan tuntutan mereka dipenuhi, sewajarnya dipersoal dahulu diri sendiri apa yang boleh disumbangkan kepada parti?

Berapa ribu atau belas ribu keanggotaan baharu parti boleh disumbangkan setiap bulan?

Berapa banyak program berkala dengan skala yang besar boleh diadakan untuk membantu memenuhi kebajikan masyarakat pelbagai latar belakang?

Berapa ramai golongan pesawah, petani, penoreh getah, generasi peneroka FELDA, pemandu teksi, nelayan dan seumpamanya dapat mereka bertemu untuk mendengar masalah dan memandu penyelesaian.

Dan sekaligus menarik keyakinan golongan miskin dan tertindas bahawa pemuda inilah yang akan menjadi jurucakap mereka paling agresif agar nasib terus terbela.

Selepas berfikir dan menyoal diri sendiri secara jujur tentang segala persoalan dan senario semasa mengenai pemuda, maka soalan lanjut adalah sejauh mana kita yakin bahawa tampuk kepimpinan parti dan pemerintahan negara boleh diserahkan kepada pemuda?

Jawapan yang diperoleh nanti akan menjawab semula soalan awal iaitu adakah Mahathir, Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Kit Siang dan beberapa nama lain masih relevan atau tidak di persada politik tanah air.

Jika tidak, eloklah para pemuda berhenti merapu-rapu dalam media sosial menggesa mereka semua bersara daripada politik kononnya untuk memberikan laluan kepada kepimpinan baharu yang lebih muda.