Pastinya ibu bapa sanggup merantau ke negeri berbeza asalkan ada peluang untuk mendapatkan pendapatan lebih bagi menyara keluarga.
Namun tak semua bernasib baik, ada menjadi mangsa oleh mereka yang tidak berperikemanusiaan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkongsi kisah tujuh beranak itu dalam hantaran di Facebook rasminya.
Bapa kepada lima orang anak berusia antara sembilan tahun hingga dua tahun, Hilmi dikatakan merantau jauh dari Kelantan ke Pulau Pinang.
Jelas Steven, Hilmi pada mulanya bekerja sebagai pemandu lori keadaan mula berubah selepas dia ditipu individu berhubung sebuah rumah sewa.
“Mula-mulanya dekat Penang dia dapat kerja sebagai driver lori. Gaji boleh tahan, dia pun jenis yang rajin bekerja. Bila keadaan dah lebih baik, Hilmi ingat nak pindah ke rumah sewa yang lebih selesa.
“Tapi nasib badan, dia kena ‘scam’ dengan tuan rumah, sewa deposit semua dah bayar tapi akhirnya dia kena halau. Maka dari situ mulalah kisah derita keluarga muda ini.
“Mereka 7 sekeluarga tinggal dalam kereta usangnya. Bumbung ada, cermin tingkap takda, malah cermin belakang pun dah pecah. Nak baiki tak mampu jadi tutup dengan plastik putih dililit pelekat,” ujarnya dalam hantaran di Facebok.
Disebabkan risau akan faktor keselamatan keluarga seandainya dia terpaksa memandu jauh maka dia memilih untuk melepaskan pekerjaan dan bekerja sebagai pemandu Lalamove.
Lebih menyedihkan apabila isteri Hilmi, Yani memaklumkan mereka hanya mampu berkongsi tiga pinggan nasi kosong dan ayam goreng dua ketul untuk santapan sekeluarga.
Apabila mengetahu mengenai situasi tersebut, ditambah dua anaknya terpaksa berhenti persekolahan, Steven tampil memberikan bantuan.
“Di rumah baru, saya rasa begitu gembira melihat anak-anak tersenyum riang. Sofa, katil, dapur, peti ais semua saya belikan. Beli yang simple simple je tapi tak sangka anak-anak begitu gembira bila nampak ada peta ais.
“Isteri Hilmi kata rumah lama meeka pun tak ada peti ais. Saya juga dapatkan kerja baru untuk Hilmi di sebuah syarikat lori. Lepas ni, Hilmi akan ada gaji tetap bolehlah jaga keluarga dengan lebih baik.
“Hilmi fokus bina semula kehidupan. Sewa rumah saya tanggung setahun, biar Hilmi dan isteri usah bimbang bab ni. Anak-anak saya uruskan balik ke sekolah,” jelasnya.
Dalam perkongsian sama, Steven memaklumkan Hilmi sebak menerima bantuan daripadanya, dia tetap membantu meskipun mereka berlainan kaum dan agama.
“Saya juga hulurkan sedikit bantuan tunai kepada Hilmi, malam ni beli lauk sikit, makan baik sikit kat rumah baru. Bila saya serahkan kunci Hilmi pula menitiskan air mata.
“Usah bersedih Hilmi, kini masanya untuk membina semula kehidupan. Malam ni saya gembira mengetahui Hilmi dan isteri Yani, anak-anak mereka tidak lagi hidup berbumbungkan langit beralaskan kain usang di tepi jalan.
“Tak kisahlah Hilmi ni dari Kelantan ke apa tapi bila ada orang susah datang dekat saya, saya tetap akan bantu, tak kira kaum dan agama,” tambahnya.
Baca juga: Thamaraj cipta sejarah, jadi atlet silat bangsa India pertama negara raih juara dunia