Malaysia Dateline

‘Merayau’ ke banyak tempat, jangkitan Covid-19 melonjak di Terengganu

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mendapati individu positif Covid-19 dan mereka yang disyaki dijangkiti virus itu disyaki tidak menjalani kuarantin kendiri dan ‘merayau’ ke banyak tempat seperti pasar raya, restoran dan tempat tumpuan awam.

Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus, berkata akibat sikap cuai individu terbabit, kes positif Covid-19 di Terengganu meningkat kepada 162 kes selepas dua lagi kes baharu dilaporkan semalam.

“Kami berharap individu yang terpaksa menjalani proses kuarantin supaya terus berada di rumah bagi menyekat penularan Covid-19 di Terengganu.

“Setiap kali kita menerima kes baharu atau kes disyaki Covid-19, kita akan siasat pergerakan kes selama 14 hari,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Beliau memaklumkan dua kes baharu positif Covid-19 di Terengganu adalah satu kes import di mukim Tepoh, Kuala Nerus dan satu kes tempatan di mukim Pelagat, Besut.

Jelasnya, kes aktif yang dilaporkan di seluruh negeri adalah sebanyak 24 kes manakala kes sembuh harian sebanyak lima kes.

Sehubungan itu, Dr Nor Azimi menggesa orang ramai mengehadkan pergerakan dan terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan.

“Kita dapati masyarakat bukan sekali mengunjungi restoran dan premis perniagaan, malah dua dan tiga kali sehari sehingga menyukarkan kita untuk membuat pengesanan.

“Hasil pemantauan dilakukan turut mendapati ada juruwang dan pemilik premis perniagaan termasuk kedai makan tidak memakai pelitup muka.

“Elakkan juga berada di kawasan yang bersesak dan sempit serta hindarkan berbual atau bersembang dalam jarak yang dekat,” katanya.