Malaysia Dateline

Merayu YDP Agong agar menamatkan darurat

Memohon Pekenan Mengadap untuk Menyerahkan Memorandum Tamat Darurat kepada DYMM Yang Dipertuan Agong.

Merujuk kepada perkara di atas, kami dari Barisan Jawatankuasa Tamat Darurat berhasrat untuk mempersembah satu memorandum tamatdarurat yang telah mendapat sokongan oleh sebahagian rakyat Malaysia.

Ini merupakan kali kedua kami memohon pekenan untuk mengadap dan kami yakin DYMM YDPA akan mempertimbangkan permohonan kami dengan sewajarnya.

Semakin jelas bahawa pengistiharan darurat sepertimana yang dinasihatkan Perdana Menteri Kerajaan PN-BN tempoh hari kepada DYMM YDPA telah membawa kesan yang buruk dari pelbagai sudut terutamanya dari segi ekonomi serta kestabilan politik mutakhir ini.

Pelabur Asing telah menarik balik niat mereka untuk melabur di Malaysia dan sambil itu, bukan sahaja tahap pengangguran bertambah, harga barang turut melambung.

Kami tuntut supaya darurat ditamatkan dan Parlimen dibenar bersidang seperti biasa. Kerajaan PN-BN dilihat mempergunakan Darurat sebagai langkah sumbang untuk menyembunyikan tingkah laku yang membelakangkan keharmonian serta tatasusila perlembagaan negara kita.

Peningkatan kadar kes baharu COVID19 yang menunjukkan tidak surut serta dijangka akan berlaku gelombang seterusnya turut membimbangkan. Mengikut kadar dos yang diberikan pada waktu sekarang, mustahil Malaysia akan menjadi negara bebas pandemic pada waktu terdekat serta membahayakan lagi rakyat kita apatah lagi membebankan petugas barisan hadapan dengan karenah PN-BN yang sentiasa berubah tanpa mengikut data dan sains serta aspirasi rakyat.

Dengan barisan Kabinet terbesar yang ada sekarang, ini merupakan indikasi jelas pembaziran wang negara ditujukan kepada persoalan pembelian kesetian politik oleh kerajaan PN-BN yang tidak berhala-tuju.

Kami dengan ini merafak sembah dan merayu kepada DYMM YDPA untuk bertindak segera menamatkan kesengsaraan rakyat dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku. Demi Malaysia yang lebih baik, kami percaya usaha ini akan mendapat pertimbangan yang sewajarnya dari DYMM YDPA dan seterusnya menamatkan Darurat pada kadar segera.

KHALID ABD SAMAD
Pengerusi Jawatankuasa Tamat Darurat.

Nota

Semua usaha untuk merayu agar darurat ditamatkan ini telah dibuat hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk parti pembangkang iaitu PKR, AMANAH, DAP, Warisan, Pejuang dan Muda.