Malaysia Dateline

Mercun dibakar, “ini untuk Israel, ini untuk Muhyiddin”

Ketika Israel dan Palestin saling tembak menembak di ruang udara masing-masing, ruang udara di ibu negara terutama di kawasan taman-taman perumahan juga penuh dengan letusan api.

Tetapi, letusan api di udara di Lembah Klang bukan roket atau mortar seperti di Gaza tetapi mercun dan bunga yang dipasang oleh umat Islam yang tidak boleh pulang ke kampung di malam hari raya Aidil Fitri malam tadi.

Mereka memasang dan menembaknya dari laman rumah masing-masing kerana tidak boleh berkumpul ekoran larangan berbuat demikian ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di seluruh negara.

Biasanya bunyi dan percikan api mercun dan bunga api berterbangan di udara di kampung-kampung ketika mereka pulang ke sana untuk menyambut Aidil Fitri tetapi tahun ini ruang udara Kuala Lumpur dan Selangor yang dipenuhi bunyi dentung dentang sehingga tengah malam.

“Ini untuk Israel,” kata seorang remaja ketika memasang mercun roketnya merujuk kepada kemarahan umat Islam terhadap serangan Israel ke atas umat Palestin.

Di jawab pula oleh rakannya, “Ini untuk Muhyiddin,” ekoran rasa tidak puashati mereka terhadap keputusan kluk klek dan berubah-ubah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menguruskan usaha melawan wabak Covid-19.

Sempena hari raya kali ini, hanya 50 umat Islam hanya dibenarkan bersolat di masjid dan hanya 20 di surau-surau.

Mereka juga dilarang dari menziarahi rakan taulan dan sanak saudara dengan tujuan untuk memutuskan rantaian penyebaran Covid-19.

Namun ada juga yang mengungkit, ketika sambutan Tahun Baru Cina yang lalu banyak peraturan dan SOP yang diputuskan telah ditarik balik selepas mendapat bantahan dari orang Cina.

Namun kali ini, SOP semakin diperketatkan apabila semakin dekat dengan sambutan Aidil Fitri.

Antaranya peraturan untuk mengurangkan jumlah orang ramai yang boleh menyertai solat Sunat Aidil Fitri hanya dimaklumkan semalam, sehari sebelum Aidil Fitri.

“Apa ni. Dulu bila Cina bantah, undur semula. Sekarang, bila Melayu bantah, semakin ketat.

“Betul ke kerajaan Melayu Islam ni,” kata seorang pemuda sambil membakar mercun roket yang berdesup ke udara di malam Aidil Fitri malam tadi.

Pemimpin dan penyokong Bersatu, Pas dan Umno menganggap kerajaan PN ini adalah kerajaan “Melayu Islang” oleh pemimpin mereka di Terengganu manakala di Kelantan pula mereka anggapnya sebagai kerajaan “Melayu Isle.”