Malaysia Dateline

Merdeka 118 dan negara vertikal

Malaysia bakal mempunyai mercu tanda baharu menggantikan Kuala Lumpur City Center (KLCC).

Merdeka 118 akan menjadi menara kedua tertinggi di dunia dan pada majlis perasmian yang berlangsung pada Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan projek ini sebagai menara ikonik untuk masa depan.

Apabila perdana menteri menyebutnya sebagai menara ikonik pada masa depan seolah-olah KLCC akan dilupakan, meminggir warisan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menzahirkannya.

Selanjutnya perlukah seseorang pemimpin negara meninggalkan sesebuah warisan bangunan megah untuk diingati rakyat selepas beliau tidak lagi menjadi perdana menteri.

Nampak inilah yang menjadi rebutan pada pemimpin di negara sedang membangun iaitu ukuran nilai kepimpinan seseorang tokoh berbekas kepada warisan fizikalnya.

Ismail berkata Merdeka 118 dilihat turut membawa semangat Keluarga Malaysia selain memberi peluang komuniti setempat membangunkan perniagaan.

Beliau juga mengaitkan pembangunan menara ini dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat terutamanya di kawasan yang berdekatan seperti Jalan Petaling, Kampung Attap serta Pudu untuk menjana ekonomi.

Daripada apa yang dijelaskan Ismail dapat dilihat Malaysia masih berada dalam kepompong mengaitkan pembangunan dengan bangunan tinggi sebagai kejayaan dan ukuran permodenan dan kemajuan.

Ia juga dapat mengaitkan dengan kejayaan Umno dan Barisan Nasional yang kecenderungan ke arah menjadi antara kalangan negara yang mempunyai bangunan pencakar langit tertinggi di dunia.

Semasa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, keadaan yang sama dengan KLCC. Ia menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara vertikal, maksudnya di sini ialah pemerintah mengamalkan kekuasaan vertikal.

Sebagai kerajaan, UBN (UmnoBarisanNasional) akan menjadi kuasa tunggal yang memerintah negara. Simbol Merdeka 118 menunjukkan konsep pembahagian kekuasaan di negara ini yang cenderung kepada bentuk kekuasaan vertikal daripada atas ke bawah dan kurang memperlihatkan bentuk kekuasaan horizontal, daripada rakyat kepada rakyat.

Oleh itu bagaimana hendak dikaitkan pertumbuhan ekonomi rakyat dengan ikon bangunan sedangkan penyewaan lot dan atau ruang pejabatnya adalah di luar kemampuan rakyat bawahan.

Sejauh manakah sumbangan pelancongan dan ikon bangunan Merdeka 118 boleh menyumbang kepada pembangunan kawasan sekitar?

Bahkan jika pertumbuhan ekonomi dapat secara langsung dikaitkan dengan bangunan tinggi, bagaimana dengan KLCC sejauh manakah ia membantu dalam pembangunan dan kemajuan kawasan kampung baru misalnya? Dapatkah bangunan Merdeka 118 memajukan penduduk kampung baru?

Netizen sudah mula mempersoalkan keperluan menara tersebut. Di tengah-tengah kenaikan kos sara hidup, infrastruktur awam yang tidak lengkap, gaji minimum yang rendah dan harga hartanah yang melambung tinggi, tiba-tiba rakyat Malaysia dihidangkan dengan bangunan pencakar langit baharu.

Kerajaan sepatutnya bergerak secara kekuasaan horizontal menumpukan kepada memberikan kedaulatan rakyat dan kuasa kepada peniaga kecil untuk membangun ekonomi mikro di kawasan lokal.

Kenaikan harga ayam tidak seharusnya selesaikan dengan kemasukan ayam import tetapi dengan memberikan perhatian kepada membantu peniaga dan penternak kecil menguasai pasaran dengan tidak bergantung kepada orang tengah.

Jualan murah dan diskaun yang diberikan kepada rakyat hanyalah sementara menantikan kemasukan ayam import misal yang dikuasai oleh kartel tertentu.

Oleh itu simbol bangunan tinggi masih memperlihatkan bentuk pemerintahan dan kuasa vertikal, yang tinggi itu adalah kekuasaan yang merupakan kepimpinan politik, perniagaan besar dan sosial atau budaya tinggi yang turun ke bawah dan tidak secara horizontal, rakyat ke rakyat, rumah ke rumah, kampung ke kampung, bandar ke kampung atau sebaliknya, gerai ke gerai, tanah ke tanah, sungai ke sungai, bukit ke bukit.


Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)