Malaysia Dateline

Merdeka 63 tahun: Negara menuju kematangan

Negara Malaysia kini dikatakan sebuah negara membangun yang sedang mengorak langkah menjadi sebuah negara matang dalam kehidupan berdemokrasi. Rakyat telah hidup bersama tiga kaum terbesar selama 6 dekad sekaligus diharapkan dapat menjadi satu anak kunci yang utama dalam membina sebuah negara bangsa Malaysia.

Berbilang kaum asas yang terbaik bagi membuktikan Malaysia sebuah negara yang matang. Kewujudan budaya politik terbuka dan matang juga mampu membentuk pemikiran rakyat yang matang. Malah, penglibatan anak muda yang peduli dalam isu masyarakat mencerminkan keadaan semasa sesebuah negara itu.

PERPADUAN KAUM

Perpaduan nasional harus menjadi satu elemen bagi negara. Untuk mewujudkan suasana berpadu ini memerlukan perancangan yang sistematik sekaligus dapat diterjemahkan secara tuntas dalam menggambarkan kerencaman masyarakat majmuk Malaysia. Sifat toleransi sesama kita perlu menjadi nilai asas kepada kerangka perpaduan nasional ini.

Persefahaman dalam kalangan pemimpin juga amat signifikan kerana melaluinya, rakyat akan dapat tauladan yang jelas dalam mengharmonikan hubungan masyarakat berbilang bangsa dan budaya di negara.

Kadang-kadang kerana wujudnya kepelbagaian budaya, agama dan bahasa dalam kalangan rakyat di negara ini, maka timbulah pelbagai masalah yang melibatkan hubungan etnik.

Boleh dikatakan bahawa perkauman akan sentiasa menjadi batas pemisah antara rakyat pelbagai kaum. Keadaan ini seterusnya boleh melahirkan ketegangan dan konflik antara kaum dan seterusnya boleh menyebabkan berlakunya pertumpahan darah.

Tambahan pula, kelibat sang politikus yang acapkali bermain politik ala perkauman telah melahirkan masyarakat dan anak muda yang punya rasa curiga antara satu sama lain.

Bagi merealisasikan tanah air kita menjadi negara matang maka faktor hubungan etnik yang harmonis menjadi anak kunci utama dalam mewujudkan keseimbangan antara kekukuhan ekonomi dan kestabilan politik.

Hubungan etnik yang mantap sangat perlu dalam kalangan rakyat sesebuah negara yg mempunyai kepelbagaian dari segi agama, bahasa, budaya dan etnik. Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat yang murni.

BUDAYA POLITIK MATANG

Rakyat di negara ini dilihat bertambah matang dalam menilai dan membuat pendirian apabila berhadapan ancaman yang mahu memecahbelahkan perpaduan. Kematangan ini hadir apabila keputusan PRU-14 yang lepas menunjukkan keberanian untuk mengubah status quo yang sudah termaktub selama 6 dekad.

Kematangan ini juga jelas akan menjadi pendorong kepada hasrat kerajaan untuk memajukan negara agar kemakmuran yang dicapai akan dapat dinikmati bersama.

Tidak dinafikan kadang-kadang timbul suara sumbang yang mahu menggugat ketenteraman antara rakyat dengan sengaja menimbulkan isu perkauman dan aksi yang mengundang perpecahan.

Saya berharap rakyat Malaysia secara keseluruhannya menolak fahaman sempit sedemikian dan tetap berpegang kepada prinsip tolak-ansur dan hormat menghormati. Persefahaman yang telah dipupuk sejak Merdeka ini lah yang mampu menjayakan agenda nasional bertujuan untuk memakmur dan memajukan rakyat dan negara.

“Peribahasa Melayu mengatakan ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’ menunjukkan permuafakatan serta kerjasama berterusan tanpa mengira bangsa adalah tunjang kejayaan buat negara Malaysia.

Atmosfera politik yang tidak stabil sejak awal tahun 2020 telah menunjukkan warna sebenar tahap kematangan rakyat Malaysia apabila tiada unsur tidak sihat seperti rusuhan mahupun demonstrasi jalanan.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan majoriti rakyat Malaysia kini lebih bersikap rasional kerana mereka sedar pemain politik hanya mengutamakan kepentingan peribadi berbanding kepentingan rakyat.

Sikap terbuka rakyat dalam mengamalkan politik matang ini dibentuk dek kerana melihat beberapa tokoh dan parti politik untuk sekian kalinya berpuluh tahun menjadi musuh namun kini bergabung demi kepentingan tersendiri pula.

Kematangan rakyat juga dinilai melalui di media sosial mereka lantang dan vokal dalam mengecam serta menegur tindakan ahli politik tanpa mengira kerajaan atau pembangkang kerana jelas hari ini situasi tidak stabil boleh terjadinya pelbagai kemungkinan keesokkan harinya.

ANAK MUDA CAKNA

Antara resipi utama dalam amalan demokrasi adalah meraikan perbezaan. Malah, berbeza pendapat dianggap sebagai hak yang harus sentiasa diraikan. Sebab itu, ia antara komponen yang penting dalam perjalanan demokrasi sesebuah negara, selain pilihan raya. Konsep meraikan perbezaan, politik dan pentadbiran sesebuah negara itu akan sentiasa berfungsi dan bekerja dengan baik atas kesejahteraan rakyat.

Perkara ini juga sering membawa kepada pembudayaan politik matang dan budiman (gentleman). Sebab itu, politik sepatutnya membawa kepada kematangan dan kesejahteraan, bukan sebaliknya.

Kelihatan hari ini kewujudan pelbagai wadah media massa yang memberi ruang dan peluang kepada semua parti politik untuk menghantar wakil mereka membicarakan isu anak muda dan mahasiswa maka ternyata ia suatu budaya yang sihat tanpa perlu mengikut sikap tidak matang pemain politik veteran yang hanya bercakap kosong tanpa ada asasnya. Jelas, kepedulian anak muda pada hari ini yang terdedah pada teknologi berada pada tahap paling tinggi sekali.

Namun, kebimbangan juga tercetus kerana masih ada segelintir generasi muda hari ini hidup dengan penuh keselesaan sehingga mereka tidak sedar betapa banyak pengorbanan yang dilakukan untuk membawa negara ke tahap hari ini.

Sebahagian daripada mereka menjadi generasi yang telah lupa akan perjalanan dan perjuangan bangsa kerana bagi mereka, keadaan selesa ini adalah biasa dan masalah negara bukanlah tanggungjawab mereka.

Isu rasuah dan pelanggaran undang-undang oleh pemimpin kini wajar dijadikan satu isu yang perlu ditentang oleh semua anak muda kerana pemimpin begini telah gagal menunjukkan “qudwah hasanah” kepada semua rakyat Malaysia.

Mendirikan sebuah negara matang memerlukan komitmen semua pihak tanpa memandang siapa kamu dan dari mana kamu kerana menjadi kewajipan kita agar dapat melihat sebuah Malaysia Baru yang bukan retorik semata tapi secara realitinya matang dari pelbagai segi agar kita berdiri sama tinggi dengan negara membangun dan maju yang lain.
——————————–

Penulis adalah mahasiswa UiTM Shah Alam.