Merdeka bebas dari amalan rompakan kekayaan negara, menindas rakyat

Oleh ARIF ATAN

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemerdekaan bermaksud menghapuskan cara pemerintahan kolonial bukan sekadar menggantikan kolonial Inggeris.

Ketua Pembangkang yang juga calon Perdana Menteri itu menegaskan pemimpin negara perlu memastikan mereka tidak meneruskan amalan menjarah negara dan menindas rakyat seperti penjajah telah lakukan.

“Kemerdekaan itu bukan bererti semata-mata menganti pimpinan Inggeris kepada rakyat Malaysia termasuk pribumi. Tokohnya berganti, amalannya juga harus berubah.

“Amalan keangkuhan, rompakan kekayaan negara, penindasan rakyat, penafian kebebasan dan lebih penting kesaksamaan dan kesamarataan peluang ekonomi kepada semua rakyat kita.

“Ini harus kita nilai pada hari kita sambut hari merdeka,” katanya dalam ucapan khas menjelang sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-64.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, rakyat harus menilai sejauhmana mereka benar-benar mencapai kebebasan.

“Apakah kita melahirkan pemimpin-pemimpin yang tidak menggondolkan kekayaan, memungguh khazanah negara untuk kepentingan mereka, keluarga mereka.

“Apakah kemerdekaan ini beri jaminan pengagihan eknomi yang adil kepada rakyat terutamnya golongan petani, nelayan peneroka dan pekerja yang menjadi benteng terkuat dlm perjuangan ini,” tegasnya lagi.

Ucapan Anwar sempena 31 Ogos yang dikongsikan di semua platform media sosial Anwar malam ini berlangsung selepas majlis seramai 30 menteri dan 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong siang tadi.

Ulang tahun Hari Kebangsaan tahun ini merupakan sambutan buat pertama kali negara di bawah pentadbiran kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ yang diterajui Ismail Sabri dengan Kabinet XXL.

Kerajaan pimpinan Naib Presiden Umno dengan persaingan tiga parti Melayu iaitu Umno, Bersatu dan Pas itu mempunyai tempoh hanya berbaki 21 bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).