Malaysia Dateline

Merdekakah kita apabila demokrasi dirobek?

Merdekanya sesebuah negara bererti negara tersebut bebas mentadbir, mengurus, dan memimpin tanah air mereka sendiri.

Sama ada penjajah Portugis, Belanda mahupun British, negara yang merdeka seperti Malaysia menikmati kebebasan pentadbiran melalui sistem demokrasi berperlembagaan di mana pemerintah dipilih dalam kalangan rakyat melalui pilihan raya.

Abraham Lincoln menyebut, demokrasi itu ialah “kerajaan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat” (government of the people, of the people and by the people).

Apabila rakyat bebas memilih siapakah yang layak memimpin negara, maka itulah erti kemerdekaan. Apabila rakyat sudah memilih sesebuah parti sebagai kerajaan, maka kerajaan itu mempunyai mandat untuk tempoh sepenggal iaitu lima tahun dan berhak menentukan dasar dan hala tuju negara mengikut manifesto yang dijanjikan.

Jika kerajaan gagal memuaskan kehendak rakyat, maka rakyat akan menghukum pemerintah melalui pilihan raya dan inilah sistem demokrasi yang mesti dipelihara dalam negara yang merdeka.

Kesucian demokrasi

Walau bagaimanapun, demokrasi negara yang kita cintai ini dirobek melalui ‘Langkah Sheraton’ yang menumbangkan kerajaan pilihan rakyat.

Walaupun rakyat diberi pilihan untuk memilih mana-mana parti politik di bawah Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan, namun tindakan sebahagian Ahli Parlimen melompat parti dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat adalah satu perbuatan yang mengkhianati kesucian demokrasi.

Jika diwujudkan Akta Anti-Lompat atau peraturan “Recall Election” sekali pun, perbuatan khianat untuk menjatuhkan kerajaan ini masih boleh berulang selagi mana pemikiran dan “political will” untuk memelihara demokrasi tidak dipegang erat oleh ahli politik.

Justeru, rakyat mesti menghentikan perbuatan ahli politik yang mengkhianati prinsip demokrasi ini. Tunjukkan mereka pintu keluar dalam pilihan raya akan datang.

Kita tidak akan menikmati kebebasan jika pilihan yang kita lakukan dalam pilihan raya boleh diubah melalui siri pengkhianatan lompat parti seperti ini.

Seperti mana penjajah yang tidak memberikan pilihan kepada kita dalam menentukan undang-undang dan pentadbiran kita sendiri, begitulah semangat Datuk Maharaja Lela berani untuk membunuh penjajah J.W.W. Birch.

Demikianlah jua keadaannya apabila kita dipaksa menerima pemerintah yang bukan pilihan kita di kertas undi. Maka, bebaskan negara ini daripada ahli politik yang menjajah kita secara tidak demokrasi ini.

Kita harus memiliki jiwa yang merdeka. Buya Hamka menukilkan erti merdeka “Kemerdekaan sesuatu negara dapat dijamin teguh berdiri apabila berpangkal pada kemerdekaan jiwa”.

“Freedom in a democracy is the glory of state, and therefore, in a democracy only will the freeman of the nature deign to dwell”– Plato

Salam Merdeka ke-64 buat Malaysia tercinta.

*FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang.