Malaysia Dateline

Meredah 2021 merenungi kisah ‘Dilli Chalo’

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam kenyataan yang diberi nama ‘catatan senja’ menekankan pentingnya iltizam untuk menghapuskan isu perkauman dan agama yang sempit.

Ahli Parlimen Pulai tersebut berkata, keupayaan untuk meletakkan noktah kepada isu diskriminasi kaum dan agama itu memerlukan kesungguhan politik yang tinggi daripada kepimpinan politik.

Duduk semeja mencari titik kebersamaan, tegas bekas Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu lagi dalam perutusan Tahun Baharu 2021.

Hal sama juga dibangkitkan oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar ketika beberapa jam tirai 2020 dilabuhkan.

Beliau turut cakna mengenai ancaman pelebaran diskriminasi kaum, agama dan peluasan kuasa kerajaan seperti tercerna dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2021.

Penegasan kedua-dua wakil rakyat dari parti bernuasa progresif berslogankan Rahmatan Lil Alamin itu berkenaan usaha membanteras semangat perkauman dan ketaksuban agama wajar mencelikkan rakyat negara ini.

Hakikatnya, tiada mana-mana pihak yang beroleh laba jika kita cepat melatah dicurah minyak dan api perkauman. Kalah jadi abu, menang jadi arang.

Kerosakan yang dibawa akibat rasisme dan sentimen agama sempit boleh dilihat pada ‘tragedi kemanusiaan’ yang sedang berlaku di India dengan 80 peratus rakyatnya beragama Hindu.

Di negara Asia Selatan itu, tirai tahun 2020 dicemari dengan protes besar-besaran oleh puluhan ribu petani yang berarak dari utara ke New Delhi sejak 26 November lalu.

Mereka mahu tiga undang-undang yang diluluskan secara tergesa-gesa yang antara lain mendedahkan golongan tani menjual hasil tanaman mereka di pasaran terbuka dimansuhkan.

Jalan utama ke New Delhi disekat selepas kerajaan ultra rasis Narendra Modi menggubal undang-undang mengkapitalismekan sektor pertanian yang dikuasai penganut Sikh.

Kerajaan juga dituntut untuk memberi jaminan sistem harga minimum yang dilaksanakan sejak puluhan tahun lalu dikekalkan.

Hal ini memandangkan, undang-undang ‘menindas’ oleh kerajaan diterajui parti Perdana Menteri Narendra Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP) itu dibimbangi hanya menguntungkan pemain kapitalis.

Golongan tani dengan kebanyakannya terdiri daripada kaum Sikh menyifatkan undang-undang yang digubal itu akan menggadaikan tanah dan hidup petani kepada syarikat besar.

Bahkan, kesatuan petani di India menyifatkan undang-undang baharu itu bakal mengadaikan sektor pertanian negara kepada penyokong jutawan Modi, seperti Mukesh Ambani dan Gautam Adani.

Sebaliknya, kerajaan Modi berdalih kononnya perubahan polisi itu akan meningkatkan pendapatan golongan petani yang kira-kira 80 peratus daripada mereka mengusahakan tanah kurang dua hektar.

Keadaan hidup kebanyakan petani di India amat teruk. Walaupun pertanian menyokong kira-kira 60 peratus pekerjaan tetapi menyumbang hanya 15 peratus daripada AS$2.7 trilion (RM10.9 trilion) nilai ekonomi.

Dalam masa sama, setiap hari, ada sahaja laporan mengenai pembunuhan petani India di pelbagai kawasan di republik itu.

Oleh sebab itu, banyak kesatuan tani menyifatkan undang-undang yang disahkan oleh Parlimen India pada September lalu sebagai memusuhi dan ‘menyembelih’ mereka.

Syarikat besar seperti Walmart dan rangkaian runcit India Reliance Industries Ltd dilihat cuba ‘dihalalkan’ untuk menjadi lintah darat kepada petani.

Ketika pandemik Covid-19 masih membadai, kerajaan Narendra Modi pula dianggap sengaja menganiaya penduduk Sikh yang mendiami negeri-negeri pertanian di utara India.

Protes terbesar di India menyaksikan kaum tani di negeri-negeri utara bangkit melawan.

Bahkan, sejak dahulu lagi, penduduk di Punjab dizalimi dengan keganasan paling dahsyat terhadap mereka pada 1984 apabila lebih 3,000 penganut agama Sikh terbunuh dalam rusuhan ketika itu.

Narendra Modi kini dianggap hanya penyambung kepada senarai panjang sejarah penindasan terhadap penganut Sikh yang populasinya kini hanya sekitar 1.7 peratus di India.

Tidak tertahan dengan penindasan ditaja kerajaan Modi itu, kaum tani dari utara India bangkit ke jalan raya dalam gerakan massa diberi nama ‘Dilli Chalo’ (Mari kita pergi ke Delhi).

Sejak November lalu, puluhan ribu petani terutama dari negeri Punjab yang didominasi Sikh selain Rajasthan dan Haryana berarak menuju ke New Delhi.

Semangat mereka bukan calang-calang. Mereka berkampung, makan dan mandi di jalan raya utama menuju ke ibu negara.

Mereka sepakat. Ada mesin memproses capati dengan bekalan susu 500 liter susu sehari untuk para peserta demonstrasi aman itu.

Jurucakap bahagian dapur aksi massa ‘Dilli Chalo’ itu memberitahu mereka perlu menyediakan makanan untuk kira-kira 50,000 petani setiap hari!

Ada wawancara bersama demonstran yang dimuat naik di YouTube juga menyebut Narendra Modi mahu mengusir dan merampas tanah mereka.

“Dia (Modi) mencekik kami. Apabila negara memerlukan makanan, mereka ketuk pintu Punjab dan Haryana,” kata salah seorang peserta protes yang berkampung bersama puluhan ribu petani lain.

Ribuan petani kebanyakannya beragama Sikh yang bangkit bersuara ke jalan raya itu terpaksa bertempur dengan pihak berkuasa India yang dikuasai Hindu.

Akibatnya, ‘Dilli Chalo’ memakan korban yang bukan sedikit. Pada hari ke-25 tunjuk perasaan iaitu pada 20 Disember lalu, seramai 41 petani telah meninggal dunia sejak 15 September.

Mereka yang terkorban dalam tunjuk perasaan itu dipanggil syahid oleh pemimpin petani dan dirai pada hari ‘Shradhanjali Diwas’ (Hari Penghormatan dan Peringatan).

Bahkan, diaspora Sikh dari seluruh dunia turut bersolidariti dengan mendesak negara-negara lain untuk campur tangan menyelesaikan masalah dilakukan kerajaan Narendra Modi.

Gelombang suara bantahan kaum Sikh di luar India juga berlaku di hampir 50 bandar di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Kanada dan Australia.

Mereka yang merupakan antara kira-kira 12 juta kaum Sikh dan orang Punjab di luar negara berdemonstrasi di luar kedutaan India menyatakan rasa kebersamaan mengecam polisi bermotif anti kaum dan agama kerajaan BJP.

‘Jihad cinta’

Pembulian kerajaan sayap kanan diterajui Narendra Modi yang kembali berkuasa pada 2014 terhadap kaum Sikh itu serentak dengan penindasan dan penafian hak terhadap kira-kira 200 juta golongan minoriti Islam di India.

Ironinya, kebiadaban kerajaan Modi berlaku ketika India lama memilih untuk menjadi negara sekular sejak kemerdekaannya pada 15 Ogos 1947.

Pada Februari tahun lalu, rusuhan ganas terburuk di New Delhi dalam tempoh beberapa dekad telah menyasarkan rumah dan kedai milik komuniti beragama Islam.

Sehingga akhir bulan itu, sekurang-kurangnya 27 individu disahkan maut dalam rusuhan susulan bantahan ke atas undang-undang kerakyatan yang penuh kontroversi.

Diskriminasi agama juga menyaksikan bertebaran foto, rakaman video dan hantaran di media sosial yang kebanyakannya memaparkan bagaimana samseng Hindu membelasah penduduk tidak bersenjata.

Agensi juga melaporkan pengamal media tidak terkecuali dibelasah dalam pertempuran ganas antara penganut Islam dan Hindu itu.

Dasar-dasar baharu BJP terang-terangan memusuhi penganut Islam dengan terbaharu kempen menentang ‘jihad cinta’ yang dipelopori seorang sami radikal, Yogi Adityanath.

Dia disebut-sebut sebagai pengganti Narendra Modi. Yogi, 48, yang menerajui kerajaan negeri terbesar di India, Uttar Pradesh telah berikrar untuk menghentikan amalan pertukaran agama wanita Hindu kepada Islam mengikut agama suami.

Di bawah Ordinan diperkenalkan November lalu oleh kerajaan negeri BJP di Uttar Pradesh, pasangan yang didakwa melakukan ‘pertukaran agama tidak sah’ boleh disumbat ke dalam penjara maksimum 10 tahun.

Rusuhan ganas terburuk di New Delhi dalam tempoh beberapa dekad telah menyasarkan rumah dan kedai milik komuniti beragama Islam pada Februari tahun lalu.

Sudah terang lagi bersuluh, undang-undang baharu yang mengklasifikasikan penukaran agama secara paksa dalam kalangan pengantin sebagai jenayah itu disasarkan kepada penganut Islam.

Kebencian terhadap agama Islam ditaja BJP begitu meluap-luap apabila mendakwa wujud cubaan menukar agama wanita Hindu kepada Islam secara beramai-ramai bagi mewujudkan dominasi Muslim.

Walaupun tiada bukti mengenai tuduhan itu, bahkan ketika agama Hindu jelas dominan dalam masyarakat India, namun polisi mutakhir kerajaan Modi jelas didorong ketaksuban kaum dan agama.

Rasisme di India dan agenda nasionalis Hindu Modi ibarat tiada noktah bahkan semakin memburuk tahun demi tahun. Kebencian meluap kepada penganut Islam sudah tidak terbendung.

Pada 11 Disember 2019, Parlimen India meluluskan rang undang-undang kontroversi berkaitan kerakyatan negara itu yang dianggap sebagai satu bentuk penghapusan umat Islam.

Undang-undang itu membenarkan kerajaan India memberi kewarganegaraan kepada berjuta pendatang haram bukan Islam dari tiga negara jirannya sebelum 2015, tetapi tidak kepada penganut Islam.

Akibatnya, hidup penduduk di negeri Assam iaitu wilayah timur laut India yang terpisah antara Bangladesh, China dan Myanmar itu dirundung huru-hara.

Tunjuk perasaan dan protes ganas meletus membantah selepas pembuat dasar negara itu meluluskan rang undang-undang baharu kerakyatan.

Ratusan anggota tentera dikerahkan ke wilayah yang dihuni majoriti penganut Muslim itu. Hampir dua juta rakyat di negeri Assam dinafikan taraf kerakyatan dalam senarai Pendaftar Kewarganegaraan Kebangsaan (NRC).

Negeri terpencil itu memang menjadi medan pertelingkahan antara agama dan ketegangan etnik sejak puluhan tahun lalu dengan tragedi paling buruk adalah pembunuhan beramai-ramai pada 1983 yang mengorbankan kira-kira 2,000 orang.

Hampir dua juta rakyat di negeri Assam dinafikan taraf kerakyatan dalam senarai Pendaftar Kewarganegaraan Kebangsaan (NRC).

Bibit-bibit keganasan juga dibimbangi bakal mencalar tahun 2021 di India apabila pada 30 Disember lalu, negeri Assam yang dikuasai parti BJP meluluskan undang-undang untuk mengharamkan semua sekolah berunsur Islam atau madrasah.

Ketika dunia bercakap tentang hak asasi manusia, India akan bertindak menutup lebih 700 buah sekolah madrasah di Assam menjelang April ini.

Alasan yang diguna kerajaan Narendra Modi mudah. Pendidikan di sekolah Islam kononnya tidak menyeluruh dan tidak mencapai tahap yang diinginkan kerajaan.

India bakal menutup lebih 700 buah sekolah madrasah di Assam menjelang April ini.

Kerajaan India dikuasai agenda nasionalis Hindu pimpinan parti Narendra Modi bukti bagaimana ‘iltizam politik’ oleh penguasa yang rasis dan anti Islam menyemarakkan kebencian kaum dan agama sekali gus mengancam kestabilan negara.

Semoga tahun baharu 2021 ini membawa sinar lebih baik kepada pencinta kedamaian yang meraikan kepelbagaian dan berkongsi nilai toleransi dan saling menghormati.

Semoga 2021 juga menjadi titik tolak untuk mana-mana rejim pemerintahan, elit politik dan pendukung semangat perkauman dan agama sempit dibanteras daripada terus mengancam kebahagiaan manusia dan kesejahteraan dunia.