Meredah belantara gelap media terpenjara 1999

Meredah belantara gelap media terpenjara 1999

Sebenarnya pertama kali saya mohon permit penerbitan majalah sekitar pertengahan 1989, ketika bertugas sebagai pemberita Harakah. Nama cadangan majalah itu, Kini. Saya terpengaruh dengan majalah terkenal, Time dan Tempo.

Malangnya, tidak lama kemudian, saya dicekup Cawangan Khas di bawah ISA. Susulan laporan saya di Harakah, mengenai demonstrasi pelajar Universiti Malaya.

Saya dianggap dalang tunjuk perasaan yang memaksa polis masuk kampus dan menangkap ramai demonstran. Saya menjamin salah seorang mereka yang saya tidak kenal pun.

Ketika memperbaharui jamin seminggu kemudian di Balai Polis Brickfields, saya pula ditahan tanpa bicara. Satu lagi bukti kebebasan bersuara dan berhimpun dinafikan.

Dengan rekod buruk ditahan ISA itu, mudah sekali KDN menolak permohonan permit Kini. Saya tidak ditemuduga dahulu seperti lazimnya.

Mungkin automatik nama saya telah tersenarai-hitam. Selepas itu, walaupun berpuluh kali saya menghantar permohonan permit akhbar atau majalah, KDN langsung tidak melayannya. Saya dibiarkan terpinga-pinga dan maklum sendiri bahawa ia telah ditolak tanpa sebarang alasan. Satu lagi bukti sikap bebal KDN.

Pilihan yang tinggal, “menyewa” permit orang lain. Ia dianggap satu kesalahan tapi banyak pihak melakukannya. Tidak ada pula tindakan dari KDN. Sebab? Individu atau syarikat berkenaan tidak bermasalah dengan KDN.

Syarikat saya, Penerbitan Pemuda, mengurus-terbit majalah Detik, milik teman karib, Almarhum Samsuri Roslan, bekas wartawan tabloid politik, Watan. Dia pernah mengusahakan sendiri Detik, atas sokongan kewangan tokoh korporat, Khalid Ibrahim, tetapi gagal di pasaran.

Detik dipohon atas nama majalah pendidikan. Menurut Samsuri, jika proposal dibuat atas kapasiti majalah politik, sudah pasti KDN menolaknya.

Saya mengambil alih penerbitan Detik pada Januari 1999 selepas berhenti dari Tamadun, November 1998. Mencari keselesaan berkarya tanpa terlalu terikat dengan pendirian politik parti. Saya menyewa lot kedai-pejabat di Medan Idaman, Gombak.

Alhamdulillah, Detik disambut baik pasaran. Jumlah cetak mencecah 100,000 naskhah dalam tempoh relatif singkat. Namun tidak mudah juga menguruskan rangkaian pengedaran di seluruh negara. Itu kelemahan saya, tiada kena-mengena dengan karenah KDN.

Melewati separuh tahun, Detik ditambah kekerapan, kepada dua kali sebulan. Suasana politik makin bergelora mendekati PRU10. Barisan Alternatif bangkit sebagai kekuatan baharu yang menggugat Mahathir-BN. Ceramah mega dan rapat umum pembangkang menjadi tapak jualan Detik paling laris.

Zon selesa tidak lama bertahan. KDN mendapat ilham. Kami diberi amaran keras kerana melanggar syarat permit. Detik dikatakan bertukar menjadi majalah politik, bukan lagi pendidikan seperti dipohon asalnya.

Bahan-bahan politik itu pula condong 90 peratus kepada pembangkang. Kami juga ditegur kerana meletakkan nama saya, Ahmad Lutfi, sebagai ketua pengarang, tanpa restu KDN. Detik diperingatkan boleh ditarik balik lesen jika berterusan melanggar peraturan.

Saya dan teman-teman sekerja sudah dapat meneka; hayat Detik mungkin tidak lama. Ia akan dipancung kejam. Permit berakhir 30 November 1999, sehari selepas PRU 1999. Mengikut peraturan, kami perlu mohon baharui permit tiga bulan sebelumnya.

Apa pun surat amaran KDN saya jawab juga. Penjelasan diberi, kemaafan dipinta dengan janji untuk tidak mengulangi “kesalahan”. Cuma, mohon masa transisi untuk mengolah semula oreintasi kandungan.

Saya lebih risau dengan kerjaya berbelas orang staf. KDN tidak fikir pun kebajikan mereka. Sedangkan alasan yang selalu diberi untuk mengecam protes atau demonstrasi jalanan reformis adalah gangguan kepada peniaga kecil di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Takut terjejas pendapatan mereka.

Soalnya, bila KDN haramkan penerbitan alternatif, mengapa nasib pekerja yang hilang pekerjaan tidak pula dipertimbangkan?

Bagaimanapun, khabar genbira tiba. Mulanya secara lisan pegawai KDN maklumkan kepada saya permit Detik berjaya diperbaharui. Bayaran RM500 dibuat, dan saya terus merancang kandungan majalah berkaitan pencapaian pembangkang yang memberangsangkan dalam PRU 1999.

Biarpun BN kekal menang dua pertiga, ia kalah teruk di Terengganu. Masalahnya, nombor lesen mesti diperolehi terlebih dahulu agar dapat dicetak di muka depan majalah.

Saya menelefon lagi. Bahan Detik bilangan 17 sudah siap. Takut kandungannya basi, ia terus dicetak dengan menangguhkan cover. 9 Disember 1999, surat kebenaran KDN dikeluarkan. Alhamdulillah. Kami meraikan dengan juadah ringan.

Hayat Detik disambung setahun lagi. Namun, ajal yang mengintai tidak disedari. Selang tidak berapa lama, saya mendapat panggilan telefon. KDN memaklumkan permit itu ditarik balik. Bagai halilintar membelah bumi. Kaget. Terkedu.

Rupanya semasa permit dikeluarkan pada 9 Disember, Kabinet baharu belum dibentuk. Peringkat pegawai yang meluluskan tapi menteri bertindak membatalkan kemudian. “Datuk Seri Abdullah Badawi yang arahkan ke?” tanya saya kepada ketua penolong setiausaha unit kawalan penerbitan, Tengku Mahmood Tengku Ismail, sekadar untuk mendapat kepastiannya. “Siapa lagi,” jawabnya perlahan, di hujung talian.

Seterusnya pada 24 Disember 1999 kami mendapat surat tunjuk sebab mengapa permit Detik tidak boleh dibatalkan. Anehnya kali ini alasan pembatalannya tidak merujuk langsung kepada kandungan Detik, tidak sepertimana surat amaran sebelumnya.

Tiga kesalahan besar kami ialah:
1. Tidak mencetak alamat penerbit.
2. Meletakkan permit penerbitan Detik di bawah Penerbitan Pemuda tanpa kebenaran Menteri.
3. Melantik Ahmad Lutfi Othman sebagai Ketua Pengarang Detik tanpa memaklumkan kepada KDN.

Isi kandungan Detik yang ditarik balik permit sudah dicetak. Hanya muka depannya sahaja yang belum. Justeru, kami terpaksa meneruskan juga, dengan memadam judul Detik. Teredarlah juga majalah itu tanpa nama!

Tiada kata putus tentang hayat Detik: apakah masih nyawa-nyawa ikan atau nazak teruk. Tanpa jemu saya mengganggu sikap pekak badak KDN. Nasib pekerja tidak menentu. Bisnes menjunam teruk. Kami menjerit melalui portal berita.

Keranda olok-olok diusung, tanda protes terhadap jenazah Detik tidak dapat ditanam. Hujung Mac 2000, baharulah KDN memberi respons rasmi; Detik sudah mati! Ia dicekik sehingga maut oleh penguasa zalim, melalui keputusan Menteri Dalam Negeri.

Harakah juga dipancung kekerapannya; daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan. Akhbar dibenar-terbit 15 hari sekali? Cukup tak masuk akal. Sebuah lagi majalah bulanan yang saya usahakan, Wasilah, turut diharamkan pada akhir tahun 2000.

Mendera

Saya sengaja rakamkan semula kes pencabulan kebebasan media ini bagi membuktikan betapa rakusnya pemerintah menundukkan suara berbeda yang dianggap menggugat kuasa mereka.

Malah, buku-buku politik saya turut dirampas, kedai-pejabat dan rumah saya digeledah, pencetak diugut, semua 43,000 naskhah akhbar Memo yang belum diedar dipunggah ke dalam lori polis, kakitangan saya dihadapkan ke mahkamah kerana menjual tabloid alternatif, pengedar dan penjual makalah politik saya diganggu.

KDN mahu sampaikan mesej: “Biar Lutfi terus terbit apa sahaja, kita akan pastikan tiada siapa berani menjualnya.”

Kerajaan mendera dan menghukum media bahasa Melayu – Harakah, Detik, Eksklusif dan Wasilah – yang dianggap mempengaruhi pengundi menyokong gabungan oposisi – Barisan Alternatif – pada PRU 1999.

Pengedar dan penjual kaset, VCD dan poster juga diburu, ditangkap dan terpaksa bermalam dalam lokap. Belum diperincikan nasib demonstran Reformasi yang dibelasah belantan, ditembak gas pemedih mata, dipukul-diheret masuk Black Maria, terpaksa mencari wang ikat jamin yang banyak, hilang pekerjaan.

Bagai negara-polis apabila suara kritikal rakyat dimusuhi, Cawangan Khas digeruni, operasi tahanan tanpa bicara mengamuk.

Saya terpaksa menerbitkan tabloid politik yang bertukar-tukar judulnya, atas nama makalah one-off iaitu bukan berkala yang tidak perlu permit.

Hampir 40 tajuk penerbitan seumpama itu saya usahakan, misalnya Haraki, Reformasi, Ehsan, Kritik, Kritis, Alternatif, Memo dan pelbagai lagi.

Hingga buntu saya mencari nama baharu, lalu muncul siri Memo 1, Memo 14, Memo 23; supaya nampak tidak berurutan, nombornya bukan ikut susunan.

Namun ia tidak menghalang KDN menggeledah dan merampas. Operasi penguatkuasaan lebih kepada gertakan dan menimbulkan ketakutan kepada pengedar-penjual. Ya, memang akhirnya strategi KDN ini mengena; jaringan pengedaran saya lumpuh.

Peruncit yang dihadap ke mahkamah merasa masa mereka terbazir untuk menunggu kes dibicarakan, sedangkan mereka hanya menjual sekitar 10 naskhah tabloid saya. Perlahan-lahan komitmen dan semangat saya dikuburkan, apatah lagi hutang jutaan ringgit sukar dituntut apabila ramai pengedar berhenti secara mendadak.

Episod gelap KDN membuli dan mencabul kebebasan media itu kini hanya tinggal sejarah. Perdana menteri tidak lagi dikenal sebagai antara 10 musuh utama akhbar seperti dahulu.

Sebaliknya, Dr Mahathir gigih merencanakan proses reformasi bagi memutuskan rantai yang membelenggu rakyat. Langkah pembaharuan bagi menjamin kebebasan bersuara sedang berjalan, seperti pemansuhan atau pindaan kepada pelbagai akta drakonian yang mengongkong.

Maklumat harus bebas mengalir. Suara berbeda perlu disuburkan. Kuburkan budaya takut yang melahirkan pengampu dan pembodek. Pemilikan media mesti terbuka bebas. Sekatan atas nama permit atau lesen adalah amalan primitif. Unit Kawalan Penerbitan wajar dibubar.

Biar komuniti media sendiri mengawal selia isu berbangkit. Elit pemerintah mesti diminimumkan kuasa agar terhindar karenah salah guna dan campur tangan berlebihan.

Kesegaran dan kemanisan era baharu ini hanya dapat dikecapi apabila setiap warga beroleh kelegaan daripada pelbagai bentuk ancaman dan gugatan. Mereka dapat berinteraksi, berekspresi dan bertukar fikiran dengan terbuka serta saling menghormati.

Idea dan karya dapat dinukil secara bebas. Tiada hukuman pengharaman secara sewenang-wenang. Namun tanggungjawab tetap terpelihara.

Pengudaraan tidak lagi terhalang di bawah langit Malaysia pasca 9 Mei. Saya pernah melalui lorong gelap yang menyesakkan nafas itu benar-benar lega walaupun kini terlantar uzur.

Ya, naskhah Mingguan Malaysia 14 April itu masih tersudut di hujung bantal kamar tidur saya. Tidak terdaya untuk menghadamnya. Begitu juga naskhah Sunday Star. Pada masa sama, nasib akhbar cetak makin tidak menentu.

Rakan saya, Zin Mahmud, menulis “ajal akhbar tidak dapat dihalang lagi”. Hampir separuh dari jumlah pekerja terpaksa berhenti. Operasi dikecilkan. Umno tidak ada duit lagi untuk disuntik. Utusan pun sudah berani menyerang bekas presidennya, Najib Razak.

Saya terbuka dengan sikap politik media. Utusan atau Media Prima boleh sahaja menentukan kiblat dan kecondongan mereka. Tiada lagi “wahyu dari langit” yang wajib dipatuhi.

Tiada lagi surat amaran, arahan menghadap atau panggilan telefon dari KDN, atas isu remeh-temeh. Bebas melapor dan menganalisis tetapi tetap tidak menghalalkan fitnah, pembohongan dan adu-domba.

Pasaran akan menentukan; media yang tunduk kepada kawalan parti tertentu sukar berkembang. Audien bijak memilih antara kaca dan permata.

Soalnya, apakah pembaca, pendengar atau penonton, mempunyai pilihan yang cukup? Apakah pasaran sudah menawarkan variati yang berkualiti?

Sehingga kini, selepas enam bulan “revolusi tanpa darah” belum muncul alternatif yang lebih baik, khususnya akhbar cetak. Media kerajaan – Bernama dan RTM – juga agak perlahan peningkatan pencapaiannya.

Bebas dan adil memang bagus, malah amat diperlukan tetapi kita juga dahagakan media yang “berbeda” dalam period baharu ini. Selain kerajaan yang menyediakan ruang kondusif, pengguna – rakyat – mesti proaktif memastikan media kekal bebas, bertanggungjawab dan berintegriti.

Dr Janet Steele, sarjana media antarabangsa yang banyak membuat penelitian terhadap kebebasan akhbar di Malaysia dan Indonesia, menulis khas untuk buku ini tentang pengalaman reformasi media di negara jiran itu.
Bukan sekadar semua undang-undang yang menekan media dihapuskan, malah ada peraturan yang menjamin kebebasan informasi.

Dengan itu media mempunyai akses untuk membongkar kecurian dana awam, skandal mega yang menghanguskan wang pembayar cukai dan segala bentuk ketirisan perbelanjaan kerajaan.

Perjuangan gigih wartawan di sana cukup mengujakan; mereka tidak hanya menunggu ehsan pemerintah tetapi lantang mendesak segala janji mengenai kebebasan kewartawanan dan hak mendapat maklumat dikotakan, secara penggubalan undang-undang. Di Malaysia, belum nampak kesungguhan badan wartawan berbuat demikian.

 

* Artikel ini merupakan sebahagian daripada bab bertajuk “Lorong Sunyi-Gelap Media Bebas Bertukar
Ceria-Meriah” yang dipetik daripada buku Revolusi Tanpa Darah, Februari 2019.

Bagi yang berminat, sila hubungi Luqman Hakim 0192903291.