“Mereka ada anak, isteri” – Ebby Yus tak tergamak, tolak 3 tawaran derma buah pinggang

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon, Ebby Yus yang menderita penyakit kegagalan buah pinggang mendedahkan bahawa sudah ada tiga individu menawarkan untuk mendermakan organ milik mereka kepadanya setakat ini.

Namun kesemua tawaran tersebut ditolak oleh pelakon berusia 59 tahun itu kerana tidak tergamak menerimanya memikirkan mereka semua masih mempunyai isteri dan anak-anak.

Malah, Ebby yang sudah menghidap penyakit kegagalan buah pinggang sejak berusia 20-an itu juga mungkin akan menolak jika tawaran untuk mendermakan organ tersebut datang dari adik-beradiknya sendiri.

Ebby atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid itu berkata, dirinya berserah kepada ketentuan Tuhan sekiranya diberikan rezeki untuk kembali sihat atau sebaliknya, lapor Harian Metro.

“Ada tiga individu yang nak mendermakan buah pinggang, tetapi saya tolak. Tak mengapa. Sebabnya, saya tak sampai hati nak ambil buah pinggang orang lain kerana mereka juga ada anak dan isteri.

“Jadi, kalau ada rezeki untuk saya sihat, Alhamdulillah. Kalau tak ada, sudah sampai masa saya. Bahkan kalau adik-beradik nak derma pun, saya rasa tak (terima) kot. Lagi pun, kita tak tahu sama ada ia sesuai atau tidak dengan kemampuan badan kita.

“Saya sudah hidup dengan pelbagai penyakit ini sejak berusia 20-an lagi sehinggalah sekarang berusia hampir 60 tahun. Alhamdulillah, Allah berikan kekuatan kepada saya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Pelakon yang kini menjalani rawatan dialisis di rumah itu turut meluahkan rasa syukur kerana mendapat perhatian ramai termasuk menerima sumbangan dari rakan artis untuk membantunya mengurangkan beban.

Difahamkan dalam sehari, Ebby menjalani rutin dialisis air sebanyak dua kali selama lebih kurang 40 minit setiap sesi ekoran organ jantungnya tidak kuat untuk menerima dialisis darah.

Bukan itu sahaja, Ebby juga perlu mengehadkan pengambilan air setiap hari namun pelakon berkenaan tetap bersyukur kerana berat badannya kini sudah mulai menunjukkan kenaikan.

“Sehari, saya perlu jalani dialisis sebanyak dua kali pagi dan petang. Sekarang, pihak hospital berikan percubaan cecair 7.5 peratus yang agak kuat dan ia boleh bertahan 12 jam.

“Untuk air minuman, saya boleh minum 800 mililiter air sahaja. Andai kata saya kerap buang air kecil, saya boleh minum lebih. Alhamdulillah, proses membuang air kecil pun tak ada masalah.

“Berat badan saya pun sudah naik. Sebelum ini, berat saya turun hingga mencecah 59 kilogram (kg). Tetapi sekarang sudah naik semula hingga 64 kg. Makan juga sudah berselera,” ujarnya.

Terdahulu, Ebby Yus menerima sumbangan dalam kunjungan penyanyi, Datuk Awie bersama Pengarah Urusan Rumah Produksi Merah, Datuk Eddy Amir Salim serta pasukannya.

Baca juga: “Semua gaji dia bagi aku” – Achey sebak kenang isteri kerja ‘cleaner’ sebelum kecap kesenangan