Mereka adalah saudara kita, kata Naib Presiden Amanah

Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus menyeru seluruh ahli mendoakan keselamatan termasuk mereka di muktamar Pas yang dilanda ribut petang semalam.

Mereka adalah saudara kita, kata Naib Presiden Amanah

Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus menyeru seluruh ahli mendoakan keselamatan termasuk mereka di muktamar Pas yang dilanda ribut petang semalam.

Hasanuddin Yunus“Saya mendoakan keselamatan nyawa, harta benda dan tanaman serta ternakan kepada penduduk negeri Kedah yang terlibat dengan ribut yang melanda itu.

“Saya difahamkan ada kawasan yang digunakan untuk Muktamar Parti Islam Se-Malaysia, juga terlibat dengan ribut itu.

“Maka saya menyeru kepada seluruh ahli AMANAH dan rakan-rakan semua untuk mendoakan mereka di sana, dengan salah satu doa yang diajarkan oleh Nabi S.A.W. 

“Mereka adalah saudara kita. Bayangkan seolah-olah kita berada di sana, tanda kesungguhan kita mendoakan mereka.

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kebaikan angin ini dan kebaikan yang terdapat di dalamnya serta kebaikan dari tujuan dikirimkannya. Dan aku berlindung dari keburukan angin, keburukan yang terdapat di dalamnya serta keburukan dari tujuan dikirimnya angin tersebut – Petikan dari Sohih Muslim,” dipetik daripada Facebook beliau.

Sementara itu, khemah utama yang digunakan Dewan Pemuda Pas runtuh manakala beberapa khemah peniaga juga rosak teruk dibadai ribut.

Laporan awal menyebut, empat pengunjung bazar jualan bersebelahan Kompleks Pas Kota Sarang Semut itu hilang manakala beberapa mangsa pula cedera akibat runtuhan khemah.

Difahamkan, DAP Kedah turut menghantar ahli mereka untuk membantu mangsa ribut di lokasi kejadian.

Kelmarin, Ketua Dewan Ulamak Pas Kedah, Mohd Rejab Md Akhir melaungkan ‘Jahanam PAN’ selepas mengetuai bacaan ikrar pada Muktamar Dewan Ulamak Pas yang disampaikan dalam bahasa Arab dan disusuli laungan takbir sebanyak tiga kali.