Orang ramai meminta Menteri dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bermesyuarat dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan agar tidak menyusahkan rakyat berikutan percanggahan kenyataan antara mereka mengenai pengambilan video dan gambar semasa mengambil vaksin.
Ini berikutan kenyataan menterinya, Khairy Jamaludin bahawa orang ramai yang menerima suntikan vaksin boleh mengambil gambar dan video ketika suntikan itu dijalankan tetapi bercanggah dengan kenyataan timbalannya.
“Mereka ni takda group Whatsapp ke,” kata seorang pengguna aplikasi Whatsapp yang menjadi tapak popular di kalangan orang ramai di negara ini untuk berbincang dan bertukar fikiran.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) memberi kebenaran untuk rakyat merekodkan gambar atau video ketika menerima suntikan vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Jelas Khairy, ia bagi memastikan setiap penerima mempunyai bukti kukuh mendapat kadar vaksin yang sempurna.
Namun timbalannya dari Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kerajaan tidak membenarkan penerima vaksin merakam gambar atau video ketika disuntik vaksin Covid-19 kerana tidak mahu perbuatan itu mengganggu kelancaran proses vaksinasi.
Ahmad berkata, penerima vaksin bagaimanapun boleh meminta petugas menunjukkan picagari sebelum dan selepas proses suntikan.
“Maaf, kerajaan tak dapat memenuhi permintaan orang ramai merakam gambar atau video ketika disuntik di pusat penerimaan vaksin (PPV).
“Perbuatan itu dikhuatiri mengganggu kelancaran proses vaksinasi di PPV. Namun penerima vaksin boleh meminta petugas menunjukkan picagari sebelum dan selepas suntikan dilakukan,” katanya kepada BH semalam.
Sebelum ini kecoh di media sosial apabila beredar video penerima vaksin yang kosong sahaja sehingga digelarkan “Made in Malusia, SeeNoVac”.
“Boleh dicucuk menggunakan picagari kosong. Sangat cepat, sehingga anda tidak sempat melihatnya.”
Semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan mereka sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku pemberian suntikan vaksin dengan picagari kosong susulan 13 laporan polis yang diterima di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, mengesahkan menerima 13 laporan berhubung dakwaan pemberian vaksin kosong oleh petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sejak beberapa hari lalu.
“Tujuh laporan polis diterima di Kuala Lumpur, manakala tiga lagi di Selangor dan masing-masing satu laporan polis di Kedah, Perak dan Melaka.
“Siasatan sedang dijalankan oleh JSJ dan kesemua kes masih di peringkat siasatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.