Mereka perlu berhenti sekarang, kata Khalid kepada wakil BN dalam DBKL

Khalid bergambar dengan ahli parlimen Kuala Lumpur sambil menunjukkan watikah perlantikannya sebagai menteri.

“Mereka perlu berhenti segera,” kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad kepada kesemua wakil Barisan Nasional (BN) yang menduduki Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut Khalid, jika mereka enggan berbuat demikian, beliau akan memberitahu Datuk Bandar, satu lembaga penasihat baru akan dibentuk.

“Tindakan adalah untuk membolehkan wakil yang dipilih oleh rakyat mendapat tempat yang sewajarnya dalam pentadbiran negara,” kata beliau kepada wartawan selepas bertemu dengan semua ahli parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang kebetulan semuanya dari Pakatan Harapan.

Selama ini, walaupun mereka dipilih rakyat dalam pilihan raya, mereka sentiasa diketepikan oleh kerajaan untuk duduk dalam badan kerajaan bagi mentadbir bandaraya.

Ini adalah tindakan Khalid yang pertama bagi mempastikan wakil yang dipilih rakyat mendapat tempat yang sewajarnya.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata ahli lembaga yang dilantik melalui lantikan politik akan digantikan dengan ahli Parlimen Kuala Lumpur.

“Kalau mereka tak letak jawatan, saya akan beritahu Datuk Bandar (Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz) ganti lembaga.

“Ketika ini terdapat lapan ahli BN yang berada dalam lembaga. Mereka perlu meletak jawatan dengan segera,” kata Khalid selepas mesyuarat dengan ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur di Putrajaya lewat petang semalam.

Hampir kesemuanya hadir kecuali Datuk kamarudin Jaffar, Bandar Tun Razak yang kini menjadi timbalan menteri.

Khalid berkata tempoh perkhidmatan wakil BN di Kementerian Wilayah Persekutuan juga akan dikaji semula.

Tentang kedudukan datuk bandar yang ada, Khalid berkata, kedudukan beliau tidak terjejas dengan pembentukan kerajaan yang baru jika beliau sedia bekerja dengan kerajaan yang ada.

“Semua penjawat awam harus bekerja dengan kerajaan yang sedang memerintah. Selagi beliau mempunyai sikap itu, tidak ada sebab kita mahu menukar beliau,” katanya.

Tambah Khalid, satu jawatankuasa akan ditubuhkan supaya DBKL mempunyai wakil ahli parlimen Kuala Lumpur.

“Kita mahu ahli Parlimen Kuala Lumpur mempunyai peranan dalam DBKL di mana mereka mengetengahkan masalah di kawasan mereka berkenaan bajet dan projek.

“Jika perlu, kita akan menyediakan kertas kabinet mengenainya,” kata beliau.

Kesemua 11 kerusi parlimen di Kuala Lumpur kini dimenangi oleh Pakatan Harapan. BN hanya menang di Putrajaya dan Labuan.

Khalid mengangkat sumpah sebagai Menteri Wilayah Isnin lepas dan semalam adalah hari kedua beliau memasuki Kementerian  Wilayah Persekutuan.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS