Malaysia Dateline

Merentas Negeri: Langgar SOP, tiada lagi amaran, kompaun RM1,500

PDRM Pulau Pinang akan mengambil tindakan dalam menambahkan pasukan pemantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dilaksanakan di seluruh Pulau Pinang dalam menghadapi gelembung pergerakan domestik susulan kebenaran merentas negeri.

Menurut Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, DCP Datuk Fisol Salleh (gambar atas), unit rondaan MPV, Rondaan Bermotosikal dan balai-balai akan digerakkan ke kawasan-kawasan tumpuan awam dan akan membuat hebahan peringatan mematuhi SOP sekiranya terkesan penambahan jumlah pengunjung di lokasi tersebut.

“Ibu Pejabat Polis Daerah juga akan mengaturkan ‘mobile snap check’ secara rawak bagi mengesan pelanggaran SOP.

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik juga akan mengadakan kawalan lalu lintas dimana semua laluan utama keluar masuk negeri Pulau Pinang serta laluan ‘hotspot’ bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“PDRM tidak akan memberi amaran, malah akan terus mengeluarkan kompaun minimum RM1, 500 terhadap orang ramai yang tidak mematuhi SOP,” jelas beliau dalam sidang media sebentar tadi.

Adalah difahamkan Pulau Pinang akan menerima pelancong domestik yang bermula pada 15 Oktober dengan sasaran seramai 50,000 pengunjung sehingga 19 Oktober apabila ianya mula dibuka melalui gelembung pergerakan merentas negeri.