Sebuah keluarga dari Kampung Paya, Mahang di Kulim, Kedah, tetap meneruskan majlis kenduri meskipun kawasan rumah mereka sudah ditenggelami air ekoran banjir kilat yang melanda negeri itu.
Walaupun air di sekeliling mereka sudah meningkat ke paras paha, namun para tetamu yang hadir kelihatan begitu berselera ketika menjamu selera sambil berteduh di bahagian bawah rumah.
Malah terdapat beberapa orang tetamu yang baru sampai beratur dengan tenang untuk mencedok nasi dan lauk meskipun paras air banjir kilat semakin meningkat naik.
Itulah situasi yang terakam dalam video dikongsikan oleh seorang pengguna aplikasi TikTok dikenali sebagai @lilyoodin menerusi satu hantaran tular di platform tersebut.
“Banjir pun kenduri tetap ON (diteruskan) lagi sedap makan. Meriah serupa ‘healing’,” tulis pemilik akuan dalam keterangan video yang berjaya meraih 1.1 juta tontonan itu.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna kagum dengan semangat tuan rumah yang tetap meneruskan kenduri meski terpaksa menghadapi ujian cuaca.
Ramai pengguna terhibur menonton perkongsian tersebut namun pada masa yang sama, ada juga individu turut merasa gerun melihat keadaan air banjir kilat berwarna keruh itu.
“Mesti tak cukup makanan. Sejuk-sejuk ini cepatlah lapar. Duduk ulang makan. Pernah juga pergi makan kenduri masa banjir dahulu. Kenangan sungguh,” kongsi seorang pengguna.
“Bahayanya. Takut tengok ayaq (air). Mahu lipan ke, pacat atau haiwan berbisa dalam itu. Kita tak tahu. Kalau masuk (dalam kain) naya. Berhati-hatilah kalian.” Kata pengguna lain yang khuatir.
Sekadar info, situasi banjir di Kedah dilaporkan semakin memburuk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu mencatatkan peningkatan.
Malah dua lagi PPS baharu terpaksa dibuka di kawasan Kubang Pasu dan sebuah pusat lagi di Pokok Sena bagi menampung jumlah mangsa yang semakin bertambah saban hari.
Bencana alam itu juga telah mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang meninggal dunia disyaki akibat lemas setelah terjatuh dalam longkang dalam kejadian banjir di Lorong Seri, Alor Setar, kelmarin.
Baca juga: “Bil api pun mak aku bayar, senang betul suami tuduh aku tak bertanggunjawab sebab kerja”