Malaysia Dateline

Merokok: 3,867 premis makanan diperiksa di Sarawak

Sejumlah 3,867 premis makanan di Sarawak telah diperiksa sejak 1 sehingga 6 Januari ini selepas larangan merokok di seluruh negara dikuatkuasakan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim berkata, daripada pemeriksaan itu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan sejumlah 174 notis kesalahan dengan nilai kompaun berjumlah RM42,300 kepada individu-individu kerana kesalahan merokok di tempat makan.

Beliau berkata,daripada 174 notis kesalahan tersebut, sebanyak 137 notis dikeluarkan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Pindaan 2018), iaitu kesalahan merokok di tempat makan.

“Bagi 26 notis lagi, kesalahan dikeluarkan di bawah Peraturan 12(1)(a), iaitu, tuan punya premis gagal mempamerkan tanda dilarang merokok, dan lima notis kesalahan lagi dikeluarkan di bawah Peraturan 12(1)(b), iaitu tuan punya premis menyediakan kemudahan merokok.

“Untuk itu, pihaknya turut mengeluarkan enam notis kesalahan di bawah peraturan 13(1), iaitu larangan mengenai merokok dan sebagainya kepada Orang Belum Dewasa (OBD) di bawah umur 18 tahun,” jelasnya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Dr Jamilah memberitahu, daripada enam orang yang melakukan kesalahan itu, empat daripadanya merupakan pelajar sekolah dan telah dirujuk kepada sekolah masing-masing.

Katanya, dua orang lagi adalah lepasan sekolah. Kompaun bagi kesalahan ini adalah sebanyak RM50 dan tiada pengurangan.

“Mana-mana individu atau pemilik premis yang menerima notis kesalahan turut diingatkan untuk menjelaskan kompaun di mana-mana Pejabat Kesihatan Bahagian atau Daerah yang terdekat dalam tempoh tidak melebihi dua bulan dari tarikh izin kompaun diterima.

“Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan dalam tempoh satu bulan.

“Bagi kesalahan kedua pula, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau menegaskan kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

“Kegagalan membayar kompaun dalam tempoh melebihi dua bulan, tindakan mahkamah akan diambil dan jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan 11(1)(d).

“Manakala bagi kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(a), tuan punya premis jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

“Seterusnya di bawah Peraturan 12(1)(b) pula, jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun,” ujarnya lagi.

Justeru, Dr Jamilah menyeru agar semua pihak dan orang ramai terutamanya perokok supaya memberi kerjasama agar sentiasa mematuhi larangan merokok tersebut bagi memastikan kesihatan masyarakat yang bukan perokok dan berisiko tinggi seperti pesakit jantung, asma, ibu hamil dan kanak-kanak dapat dilindungi.

Katanya, kegagalan memberi kerjasama kepada anggota penguatkuasa seperti enggan memberi maklumat peribadi, adalah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 4(4) Akta Makanan 1983 iaitu menghalang tugas penjawat awam dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tidak melebihi satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Justeru kepada mereka yang masih mahu merokok hendaklah berada pada jarak lebih dari tiga meter dari tempat makan atau dari meja terakhir makanan dihidangkan.

“Dan untuk perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok “mQuit” yang telah disediakan di klinik-klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negeri atau di mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok “mQuit” swasta yang diberikan akreditasi.

“Untuk maklumat lanjut, mereka juga boleh mendapatkan maklumat serta berdaftar melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-8883 4400,” tambahnya.