Malaysia Dateline

‘Merompak adalah tuduhan serius’, kata Ismail Sabri

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat yang tidak membenarkan usul untuk merujuk Menteri Kewangan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, kerana mengelirukan Dewan.

Beliau berkata, pihaknya cuma membangkitkan isu ‘tuduhan merompak’ yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bagan (Lim Guan Eng) sewaktu membentangkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Tuduhan perompak merupakan satu tuduhan jenayah, tuduhan serius. Sebab itu Ahli Parlimen Rembau (Khairy Jamaluddin) buat laporan polis terhadap Guan Eng.

“Ia merupakan tuduhan berat dan jenayah terhadap Barisan Nasional (BN) serta Pekan yang menjadi Menteri Kewangan masa itu. Kita tak soal tuduhan lain berkaitan prosedur, kita persoalkan pasal tuduhan merompak.

“Guan Eng juga terus menggunakan perkataan sama apabila menggulung perbahasan bajet pada tahun lepas. Speaker (Datuk Mohamad Ariff Md Yusof) nampaknya cuba mempertahankan beliau dan tindakan Speaker seolah-olah mempertahankan tuduhan Menteri Kewangan itu yang mengatakan duit GST dirompak oleh kerajaan lepas.

“Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) jelas mengatakan tidak ada wang yang hilang, RM19.4 bilion itu masih berada dalam akaun yang disatukan. Ia bermakna tiada kehilangan langsung dan tentu sajalah tidak ada rompakan yang berlaku seperti dituduh Guan Eng.

“Disebabkan keadaan tegang di dalam Dewan tadi, kami cuba memberi jalan keluar iaitu Guan Eng tidak perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, beliau hanya perlu memohon maaf dan tarik balik tuduhan dilakukannya, tetapi perkara itu tidak berlaku,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Usul itu dibuat kerana ungkapan merompak yang pernah dibuat Lim Guan Eng tahun lalu kepada pentadbiran BN berhubung kutipan GST, yang menurut mereka mengelirukan Dewan.