Merungkai kasih di Hari Guru

Merungkai kasih di Hari Guru

Sepanjang ingatanku, ada beberapa guru yang akan senantiasa menjadi ingatanku. Ini bukan bermakna guru-guru lain hilang dalam radar ingatan, mungkin ianya hanya sedikit kelam.

Gemulah Pokteh Latiff. Susah aku hendak melupakan jasanya. Selaku anak tahun 80-an, detik mengaji quran merupakan hari-hari yang paling diingati.

Bermula selepas Maghrib, kami akan bergegas ke rumah Tuan Guru untuk berebut mengangkat Quran.

Mengangkat Quran merupakan tanda kami “punch card”. Sesiapa yang mengangkat awal maka dialah yang akan memulakan bacaan Al-Quran.

Terutama setiap malam Sabtu kerana pada malam inilah cerita Shogun Samurai bermain di kaca tv. Jika terlewat bermakna akan ketinggalan menyaksikannya.

Pokteh seorang yang tegas, garang dan sangat berilmu. Beliau hanya berkain pelikat dan hanya akan mendengar serta menegur kesalahan bacaan kami.

Kalau tidak lancar, maknanya kami tidak cukup tiga kali membaca sebelum mengadapnya. Dendanya, bacaan kami tidak beralih di samping leterannya yang tajam dan penuh makna.

Resam guru Quran dahulu, susah dan biasanya hanya petani kerjanya. Mengajar Quran benar-benar tidak memberi sumber pendapatan kepadanya.

Hanya sesekali apabila tiba musim hari raya, dapatlah kain pelikat sehelai. Selebihnya jika ada yang habis pengajian akan dijamu pulut kuning oleh anak murid.

Keberkatannya sangat lain. Aku dapat merasakan keberkatan guru Quranku ini. Pernah sekali, gergajinya dicuri orang. Dengan tenangnya beliau berkata, esok pencuri itu akan hantar kembali. Ternyata esoknya gergaji itu ada di hadapan rumahnya.

Arwah juga dapat menunaikan haji. Menunaikan haji bagi petani yang miskin sesuatu yang agak pelik waktu itu. Namun mungkin keberkatannya dalam mengajari ayat-ayat suci membawanya ke Tanah Suci.

Agak terkilan, semasa ketiadaanya aku di Mekah. Ya Allah tempatkanlah beliau dikalangan orang-orang yang beriman. Amin.

CATEGORIES