Mesej buat YB: Bersederhanalah dalam meminta dan memberi

Mesej buat YB: Bersederhanalah dalam meminta dan memberi

Salam
Yang Berhormat dan rakan-rakan sekalian,

Sejurus saya membaca WhatsApp Yang Berhormat (YB) minggu lepas, saya terus menulis bagi membalas tetapi menyimpannya agar keceriaan perayaan tahun babi ini tidak terjejas. Hari ini baru saya hantar untuk ditelaah bersama.

Saya fikir, pandangan YB untuk kerajaan Perak segera memenuhi manifesto tentang pengeluaran geran tanah di kampong baru adalah tersasar jauh daripada falsafah Pakatan Harapan (PH) diwujudkan. Saya persoalkan kewajaran cara YB berfikir dan bertindak.

Lebih malangnya, pandangan YB dibuat dalam keadaan kerajaan PH sudah merosot kepercayaan masyarakat khususnya dalam Pilihan Raya Kecik (PRK) Parlimen Cameron Highlands. Jangan dihalakan beban kekalahan ini kepada musuh politik yang sudah terhukum.

YB (dan mereka yang mempunyai pandangan seperti YB) hanya melihat dari sudut yang sempit dan hanya melibatkan kepentingan kaum Cina sahaja.

Usah berbicara soal demokrasi jika bertindak secara demokratik terpilih. Perkara yang menguntungkan kelompoknya diutamakan daripada keuntungan negara.

Jangan berlindung atas nama keadilan, kesaksamaan, demokrasi atau apa-apa istilah politik. Pada akhirnya, tujuan politik lebih kepada menjaga kepentingan kelompok sendiri. Sekarang topeng-topeng itu terbuka sedikit demi sedikit tanpa disedari.

Sesetengah pimpinan PH sekarang dilihat membuat tindakan yang banyak merosakkan pembinaan negara bangsa.

Saya sudah banyak menulis tentang pembinaan negara bangsa. Pembinaan negara memerlukan masa dan komitmen tinggi seluruh warganya. Ia ada asas dan kaedahnya. Sejarah pembinaan ini perlu difahami sepenuhnya. Tidak boleh membaca sejarah sekerat-kerat.

Kegagalan besar sesetengah pimpinan PH sekarang ialah terlalu obses dengan kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan membuat tindakan yang tidak menguntungkan sesiapa pun. Bahkan banyak merosakkan pembinaan negara bangsa.

Pemimpin PH jangan terlalu ghairah sangat hendak membuat banyak perubahan. Rakyat sedang menilai kepemimpinan PH mengurus kuasa dan kemenangan.

Semasa merangka manifesto PH Perak, YB (dan lain-lain yang berfikiran sama) hanya fokus soal tanah dan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sahaja. Manakala persoalan lain, YB sekadar memenuhi syarat penyertaan sahaja.

Saya ada di peringkat awal pembentukan rangka manifesto itu. Manifesto itu dibahas dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PH Perak yang kita turut serta.

Kedua-dua manifesto itu dipersetujui dimasukkan atas konsensus deklarasi PH yang dipersetujui awal sebelum itu. Deklarasi PH yang dimeterai pada atas tandatangan kesemua pimpinan utama PH wajib dijadikan panduan.

Tuntutan bersifat kepentingan kaum perlu diimbangi dengan usaha memperkukuhkan negara bangsa Malaysia.

Deklarasi adalah ikatan janji setia pimpinan. Manakala manifesto adalah tawaran politik kepada pengundi jika diberi kuasa sebagai kerajaan. Manifesto mempunyai pra-syarat sebelum dilaksanakan. Sedangkan deklarasi adalah perjanjian tanpa syarat yang perlu dipatuhi.

Ternyata selepas pelantikan Ahli Majlis dan Ketua Kampong Baru di Perak, ramai dalam kalangan mereka yang dilantik gagal berbahasa kebangsaan. Apakah makna perjuangan mendapatkan pengiktirafan UEC jika bahasa kebangsaan sendiri gagal dipertahankan?

Tuntutan UEC sewajarnya diimbangi dengan tuntutan penguasaan bahasa kebangsaan oleh para pejuangnya. Ia bukan satu pilihan tetapi suatu pengiktirafan. Pengiktirafan UEC menunjukkan keterbukaan sebahagian pimpinan PH terhadap pengeluaran sijil-sijil selain sijil kebangsaan.

Persoalan tanah telah kita persetujui perlunya kebijaksanaan politik PH dalam mengurusnya. Ketidakadilan dan ketirisan dalam urusan pengeluaran geran tanah sudah dipersetujui perlu ada jalan penyelesaiannya. Oleh kerana itu, kita bersetuju untuk memasukkan permasalahan tanah dalam manifesto tanpa prejudis.

Sayangnya, sikap keterbukaan ini tidak dilihat sebagai tanda kerjasama politik yang hebat. Tuntutan bersifat entnik-centric atas nama kepelbagaian kaum sering dikemukakan tanpa imbangan terhadap memperkukuhkan negara bangsa Malaysia.

Sejarahnya bangsa Malaysia ini wujud pada 1963 bersempena penubuhan Malaysia. Tetapi prosesnya sebelum itu harus difahami. YB sendiri tahukah makna dari istilah ‘Malaysia’? Bagaimana istilah itu muncul dari sudut geografi menjadi istilah politik dan budaya?

Jika kita berani untuk mengubah falsafah dan struktur negara, kita bakal berhadapan perubahan psikologi dan sosial masyarakat yang lebih hebat daripada perubahan politik. Siapa menyemai angin, beranilah menuai badai!

Jika demikian, usahkan sepenggal PH memerintah, bahkan sepenggal untuk kekal sebagai sebuah kerajaanpun belum tentu mampu bertahan.

Pepatah Melayu menyebut ‘orang berbudi, kita berbahasa; orang memberi, kita merasa’. Berpada-pada pada sesuatu. Bersederhanalah dalam meminta dan memberi. Berlaku bijak berhadapan kecelaruan fikiran orang bawahan kita.

Jika YB mahu makna ‘comrade’ yang sebenarnya, saya akan hurai lebih lanjut tentang sejarah, falsafah dan proses pembinaan negara kita yang tercinta ini.

Selamat tahun baru.

Muhaimin Sulam
Ahli Majlis Pimpinan PH Perak
8 Februari 2019
Jumaat

Rakyat sedang menilai kepemimpinan PH mengurus kuasa dan kemenangan.