Mesej kreatif berkesan, sentuh hati rakyat

Mesej kreatif berkesan, sentuh hati rakyat

Isu semasa yang berlaku sama ada di dalam dan luar negara ada kalanya lebih berkesan dan menyentuh hati apabila disuarakan secara kreatif. 

Demikian pandangan seorang aktivis politik yang meminati seni, Mohd Anuar Tahir ketika penulis berkongsi pandangan dengan beliau mengenai kemunculan halaman sastera dalam sesebuah akhbarpolitik.

Mempercayai seni dan sastera merupakan sebahagian daripada kehidupan, Anuar yang merupakan setiausaha agung Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, orang Melayu khususnya di Asia Tenggara mempunyai seni yang tersendiri dalam menyampaikan sesuatu perkara secara halus.

“Sebagai seorang yang meminati seni, saya percaya tulisan kreatif adalah sebahagian daripada kehidupan kita.

“Politik misalnya, jika disuarakan melalui puisi, cerpen kadang-kadang itu lebih berkesan.

“Orang Melayu dan orang Malaysia mempunyai seni dalam menyampaikan sesuatu perkara secara halus. Kita yang berada di Asia Tenggara ini terkenal dengan kehalusan budi malah istilah budi itu hanya dikenali dalam bahasa Asia Tenggara.

“Orang Indonesia faham apa itu budi sama ada di orang Jawa, Riau, Acheh orang Batak, orang Bugis. Itu menunjukkan kehalusan kita,” katanya.

Justeru beliau yang meminati karya-karya penyair Indonesia, Taufiq Ismail memberikan sokongan penuh kepada ruangan Kreatif dalam akhbar Amanah yang terbit secara mingguan.

Ruangan Kreatif ini membuka peluang kepada orang ramai untuk menghantar karya mereka sama ada rencana seni dan sastera, cerpen, sajak, pantun, syair mahupun gurindam.

“Langkah memulakannya (ruangan Kreatif) walaupun cuma satu halaman adalah usaha yang saya alu-alukan dan harus dikekalkan.

“Selagi saya berada di posisi ini saya akan terus memberikan sokongan agar ruangan ini akan dikekalkan dan tak bolehlah kita buat suatu perkara itu hangat-hangat tahi ayam kemudian kita terlampau sangat nak jadikan semua ruang untuk politik semata-mata,” katanya yang gemar menulis sajak.

Menurut Anuar juga, beliau mahu akhbar Amanah menjadi pilihan semua lapisan masyarakat, bukan untuk ahli dan aktivis parti sahaja.

“Saya mengimpikan akhbar Amanah ini sebagai akhbar pilihan masyarakat, bukan sekadar milik Parti Amanah Negara tetapi biar orang ramai berasa teruja mahu baca.
semestinya ahli Amanah sahaja yang nak melanggan atau nak membeli dan jadi pembaca tetap. Tapi orang ramai juga harus diberi ruang untuk meminati apa yang ditulis.

“Kreativiti mewujudkan ruang-ruang di mana orang ramai boleh mengambil bahagian adalah suatu yang saya puji,” katanya.

Akhbar Amanah diluluskan penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1 Mac 2016 dan terbit secara mingguan.

Orang ramai yang berminat untuk menghantar karya boleh berbuat demikian melalui e-mel [email protected]