Malaysia Dateline

Mesej melalui infografik KPWKM perkembangan jelik, wajar dikutuk

Poster berbentuk infografik yang disiarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), baru-baru ini dilihat terus mendapat kecaman daripada masyarakat.

Poster tular itu adalah berkaitan beberapa tips untuk wanita yang dipromosikan ketika rakyat sedang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional dan Wanita DAP dalam kenyataan bersama menyifatkan, mesej yang digunakan dalam infografik tersebut adalah sesuatu yang sangat keterlaluan.

Selain sangat keterlaluan, mesej itu juga katanya dilihat sebagai merendahkan nilai kebijaksanaan dan kematangan seseorang wanita.

“Infografik tersebut adalah satu perkembangan jelik yang wajar mendapat kutukan dan kecaman daripada pelbagai pihak.

“Infografik tentang bagaimana seharusnya seorang wanita iaitu ibu yang bekerja, berkelakuan di dalam rumahnya sepanjang tempoh PKP itu, jelas bersifat menghina, merendah-rendahkan, terkebelakang dan penuh dengan kejahilan.

“KPWKM sepatutnya mencari jalan untuk menjana daya kaum wanita, berbanding kembali memperkuatkan stereotaip ketinggalan zaman dan momokan penghinaan yang berbahaya seperti ini,” bidasnya.

Dalam kenyataan itu lagi, mereka berkata ironinya perkembangan itu seperti sudah terjangka dan tidak mengejutkan jika diambil kira lain-lain ‘kegagalan’ yang telah berlaku di bawah kepimpinan Datuk Seri Rina Harun dan Timbalannya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof, sepanjang beberapa minggu lalu.

“Bermula dengan kenyataan Siti Zailah sendiri yang kononnya kebarangkalian korban akibat wabak Covid-19 hanyalah 1 peratus.

“Diikuti pula dengan pengumuman penangguhan khidmat Talian Kasih 15999 sehinggalah pengumuman Jabatan Kebajikan Masyarakat bahawa, mereka satu-satunya pihak yang berhak menguruskan agihan bantuan kepada penerima sepanjang krisis Covid-19.

“Walau bagaimanapun, tindakan terkini yang menyuruh ibu-ibu bersolek sambil menguruskan keluarga di rumah, seraya mengajar para wanita untuk mengajuk suara watak Doraemon (yang sebenarnya seekor robot kucing jantan) adalah yang paling dangkal sekali!.

“Cadangan yang amat tidak cerdik bahawa kononnya wanita perlu bercakap dengan gaya dan intonasi tertentu bagi mengelak salah faham rumah tangga.

“Bukan sahaja mencadangkan bahawa sikap adalah punca salah faham terbabit, bahkan ia sekali gus jelas meremehkan pelbagai faktor yang telah mengheret kepada beberapa kes keganasan rumah tangga yang telah berlaku selama ini,” kata mereka yang mengecam tindakan tersebut.

Memandangkan peningkatan risiko keganasan rumah tangga ketika tempoh PKP ini, Ketua AWAN Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi mencadangkan agar KPWKM melakukan lebih banyak pengumuman mengenai langkah-langkah pencegahan terhadap keganasan rumah tangga.

Katanya, sejak pelaksanaan PKP, dilaporkan Talian Kasih telah menyaksikan peningkatan sehingga 57 peratus panggilan daripada wanita yang mengalami kesusahan.

“Apakah isu-isu yang berbangkit berdasarkan aduan pemanggil? Sejauh mana kementerian telah mengambil tindakan terhadap aduan-aduan berkenaan? Apakah bantuan-bantuan yang telah diberikan?

“PKP kemungkinan akan menjadi lebih panjang dan ia memerlukan kepekaan, kesungguhan, ketekalan, empati dan kebersamaan kementerian dalam menguruskan keperluan wanita dan kanak-kanak di seluruh negara yang kini turut berdepan dengan ancaman wabak Covid-19,” ujarnya.