Mesin ATM Beras Percuma untuk asnaf di Pulau Pinang

Mesin ATM Beras Percuma untuk asnaf di Pulau Pinang

Buat pertama kalinya golongan asnaf dan yang berkelayakan boleh mendapatkan beras percuma melalui mesin ATM Beras Percuma.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin ketika melancarkan mesin tersebut di Bandar Perda semalam.

Jelasnya lagi, mesin tersebut akan ditempatkan di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Perda serta dikhususkan untuk golongan asnaf.

Malah katanya, mesin yang disumbangkan oleh Kumpulan Sunway tersebut merupakan salah satu usaha bagi meringankan beban golongan miskin dan asnaf.

Dr Afif menyampaikan beras percuma menggunakan mesin ATM tersebut kepada salah seorang penerima semalam,

“Mesin ATM beras percuma tersebut mempunyai dua fungsi utama iaitu mampu mengeluarkan beras mengikut jumlah beras yang dikehendaki.

“Manakala satu lagi fungsinya adalah boleh juga menerima sumbangan tunai dari orang ramai bagi membolehkan masjid membeli lebih banyak beras untuk kegunaan asnaf pada masa yang akan datang.

“Selain itu, mesin tersebut juga boleh menampung sehingga 200 kilogram pada setiap satu masa, ” tegasnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri turut berkata, transaksi pengeluaran beras dengan menggunakan kad ATM beras percuma tersebut hanya boleh dilakukan oleh pemegang kad tersebut sahaja.

Menurut Afif lagi, setakat ini Sunway merupakan syarikat korporat pertama dalam negara yang mengambil daya usaha ini serta telah menempatkan lapan buah mesin dengan sumbangan yang telah pun mencecah lebih 6000 kilogram bagi seluruh negara.