Malaysia Dateline

Mesin khianat pengaruhi rakyat di Sabah?

Dengan pembubaran Parlimen di Sabah, sejauh manakah mesin ini akan beroperasi setelah disekat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Afdal.

Ini berikutan ahli politik veteran Musa Aman mengumumkan mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru Sabah. Saya mencium bau perkhianatan.

Musa Aman dirasakan terlewat untuk menghubungi Yang diPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin atau memberikan khidmat nasihat supaya beliau bersetuju memperkenankan pembentukan kerajaan baharu Sabah.

Namun, adakah ini bermakna mesin khianat berhenti beroperasi di Sabah selepas bergerak di Semenanjung. Mungkin pelaburan khianat ke atas Adun telah terencat dan pulangan pelaburan itu menjadi rugi.

Dalam laporan Malaysia Dateline hari ini, Shafie Apdal berkata, rakyat Sabah mempunyai maruah yang amat tinggi dan sudah sampai waktunya mandat dipulangkan kepada mereka.

Shafie menjelaskan dengan tempoh 60 hari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung, beliau yakin bahawa rakyat dan pengundi Sabah akan memilih wakil yang benar-benar ikhlas dalam memperjuang nasib mereka nanti.

“Sekarang sudah sampai waktunya mandat dipulangkan kepada rakyat dan pengundi di negeri ini. Dan inilah yang menimbulkan keresahannya. Kenyataan Shafie itu supaya rakyat Sabah waspada dengan politik wang yang akan mesin khianat rakyat di Sabah.

Mungin juga jutaan wang akan ditaburkan supaya rakyat mengundi Umno, Bersatu dan PN di Sabah.

Apabila saya mengaitkan langkah atau tindakan khianat sebagai sebuah mesin, ia umpama mesin sebuah kilang yang menghasilkan produksi, cumanya kilang hasrat dengan mesin khianat di sini menghasilkan produksi pengkhianatan.

Mesin khianat yang beroperasi tanpa kawalan ini dapat menjadi sebuah mesin dengan gejolak hasrat yang tidak terbendung. Ia menjelma menjadi sebuah mesin gila, yang bergerak dengan membiarkan dirinya atau kumpulannya tenggelam dalam rangsangan-rangsangan keinginan dan gejolak tenaga nafsu yang kemudian menjauhkan diri daripada nilai-nilai moral dan peraturan.

Adakah tawaran wang dan janji projek pembangunan yang lumayan telah menghalalkan secara perkara diamalkan?

Inilah yang terjadi kepada sang politikus-sang politikus yang telah berkhianat dan berpaling tadah daripada kerajaan yang sudah dibentuk melalui mandat rakyat.

Hasrat yang lepas kendali itu itu dijadikan menjadi umpama sebuah mesin di dalam diri sang politikus yang akan melanggar setiap batas yang menghalangi dalam mencapai matlamat – sifat munafik, bermuka-muka, lidah bercabang – berkembang dengan mesin kegilaan untuk berpaling tadah.

Dan sang politikus yang khianat rakyat akan menabur wang kepada rakyat supaya mandat rakyat itu dibelakangkan rakyat sendiri dan mengundi parti-parti PN dengan taburan wang dan janji projek pembangunan.

Sedikit latar belakang, istilah mesin berasal daripada bahasa Latin iaitu machina atau dalam bahasa Yunani adalah machine yang bermaksud “cara tertentu mencapai tujuan”.

Tujuan sama 

Dalam pemahaman yang khusus, istilah “mesin” digunakan bagi menjelaskan rangkaian instrumen yang dapat menyalurkan tenaga dan gerakan dengan cara tertentu untuk menghasilkan kesan seperti penghasilan produk.

Akan tetapi istilah “mesin” juga digunakan untuk menjelaskan “kumpulan orang-orang yang bertindak secara bersama untuk satu tujuan sama seperti mesin di kilang.

Dalam pengertian yang luas kerajaan dan parti politik atau gabungan parti politik dapat dianggap sebagai mesin besar (the great machine) yang terdiri daripada submesin dan komponen-komponennya yang bertindak sebagai agen-agen dalam mencapai tujuan – adanya mesih indoktrinasi, mesin fikiran, mesin kegilaan, mesin hasrat, mesin kepengunaan, mesin perang, mesin kleptokrasi, mesin nepotisme, mesih rasuh, mesin kolusi, mesin ekonomi, mesin politik, mesin demokrasi dan tidak lupa mesin khianat.

Proses perulangan (dari Semenanjung ke Sabah) seperti mesin khianat harus diproduksi bagi melemah mesin kesetiaan kepada parti lain, oleh itu mesin besar memerlukan kawalan mutu (mesin rasuah supaya dapat berfungsi).

Istilah mesin kepada gabungan parti atau kerajaan dan sub-subnya digunakan dalam pengertian yang luas kerana keadaan politik sekarang seolah-olah tiada perbezaan antara manusia dan mesin atau antara manusia dan teknologi.

Keduanya adalah kesatuan yang menyeluruh seperti manusia dengan telefon bimbit yang tidak dapat dipisahkan. Misalnya kesatuan menyeluruh antara manusia dengan telefon bimbit adalah Interner, Wifi, RAM, media sosial, YouTube, di mana manusia adalah pengendalinya.

Manusia dengan telefon bimbit tidak lagi dapat dipisahkan kerana pancaindera manusia seperti sentuhan, penglihatan dan pendengaran sudah sebati, melekat kepada teknologinya.

Seolah-olah manusia adalah komponen mesin. Manusia yang menciptakan teknologi tetapi teknologi pula yang menciptakan manusia, maksudnya manusia sekarang tidak mengawal teknologi tetapi telah tunduk kepada teknologi yang membentuk manusia.

Manusiawi akan hilang dan manusia bertindak seperti mesin. Apa yang dimaksudkan dengan mesin khianat ialah produksi yang dikehendaki bagi memastikan keutuhan mesin besar. Komponen mesin khianat ialah mesih hasrat atau nafsu.

Oleh itu, adakah gabungan baru Musa boleh disifatkan sebagai “pengkhianatan besar” di Sabah?
Tanpa kerajaan hasrat, mesin khianat tidak akan berfungsi – kerajaan hasrat adalah kendali mesin hawa nafsu tanpa kawalan, mesin hasrat dikaitkan dengan komponen tangan, hati, capan, perasaan, konotasi, tulisan, fikiran – inilah mencirikan kerajaan hasrat.

Komponen ini kemampuan hasrat menjalinkan hubungan yang tidak terbatas dengan komponen tersebut, mengisi setiap ruang, setiap bentuk dan arah yang dihubungkan dengan mesin kekuasaan.

Inilah yang membawa kepada mesin khianat, tindakan pintu belakang, penyamun dan penyangak, koruptor, penunggang agama dan sewaktu dengannya.

Mesin khianat perlukan bantuan kerajaan hasrat untuk meneguhkan mesin besar agar terus kekal, jika tidak mesin besar tidak akan berfungsi dan segala operasi akan dihentikan. Kerajaan hasrat akan bertindak memotivasikan mesih khianat, mesin hasrat adalah sebuah mesin yang tidak pernah puas, kemaruk kuasa tiada batasannya. Kerajaan hasrat adalah kerajaan yang beraja di hati dan bersultan di mata.

Setelah mendapat dukungan kerajaan hasrat, mesin khianat akan menemukan hubungannya yang hitam dan gelap dengan mesin kekuasaan bersama-sama membentuk sebuah delirium machine, mesin kegilaan untuk melakukan pengkhianatan.

* Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).