Mesir ambil alih pengerusi Kesatuan Afrika

Mesir ambil alih pengerusi Kesatuan Afrika

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi secara rasmi mengambil alih jawatan pengerusi Kesatuan Afrika (AU) serentak dengan pembukaan sidang kemuncak AU di Addis Ababa.

Sebelum ini jawatan itu disandang Presiden Rwanda Paul Kagame.

Sidang kemuncak dua hari itu menumpukan agenda mengenai “hubungan antara Mediterranean dan Tasik Victoria” yang sangat penting kepada sub-Sahara Afrika.

“Mesir berminat mengukuhkan kedudukannya di benua Afrika dan tidak mahu hanya dilihat memberi tumpuan kepada dunia Arab,” kata seorang penganalisis di Institut Kajian Keselamatan Liesl Louw-Vaudran.

Di bawah kepemimpinan Kagame, AU menumpukan kepada isu pembaharuan institusi dan pentadbiran, bagaimanapun Sisi dijangka memberi fokus kepada keselamatan, pengawalan dan pembinaan semula selepas perang.

“Perjalanan masih jauh” untuk AU mencapai matlamat “menghapuskan penggunaan senjata” menjelang 2020, kata Sisi kepada perwakilan pada Ahad.

Beliau turut mengumumkan akan mengadakan forum perdamaian dan pembangunan di Aswan, selatan Mesir pada 2019.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Sabtu mengatakan pilihan raya aman di Kongo, Mali dan Madagascar, perjanjian damai di Sudan Selatan dan Afrika Tengah selain gencatan senjata antara Ethiopia dan Eritrea, memberikan gambaran terdapatnya “harapan” untuk mewujudkan kedamaian di benua itu.

Guterres turut memuji perpaduan ditunjukkan di Afrika, negara yang menjadi tuan rumah kira-kira sepertiga pelarian dunia dan golongan yang terpinggir.

“Walaupun negara terbabit berdepan cabaran sosial, ekonomi dan keselamatan, kerajaan dan rakyat Afrika masih membuka pintu sempadannya untuk menerima jutaan orang yang memerlukan. Malangnya, contoh ini tidak pernah diikuti negara lain,” katanya.

Jawatan Pengerusi AU disandang secara bergilir-gilir di antara lima wilayah di benua itu dan Afrika Selatan mengambil alih dari Mesir tahun depan.

— BERNAMA-NNN-AGENCIES