Meskipun Daesh sudah tewas, jangan cepat puas hati – pegawai kanan antikeganasan PBB

Meskipun Daesh sudah tewas, jangan cepat puas hati – pegawai kanan antikeganasan PBB

Seorang pegawai kanan antikeganasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin memberi amaran bahawa komuniti dunia tidak seharusnya berasa puas hati dengan kekalahan yang dialami kumpulan pengganas Daesh baru-baru ini, lapor agensi berita China Xinhua.

Meskipun Daesh dan sekutunya berjaya ditewaskan, ancaman yang ditimbulkan oleh saki-baki pejuang kumpulan itu serta individu yang mendapat inspirasi daripada mereka, kekal tinggi dan mempunyai jangkauan global, kata Vladimir Voronkov, penolong setiausaha agung Pejabat Antikeganasan PBB, kepada Majlis Keselamatan.

“Oleh itu, saya ingin menekankan (bahawa) kekalahan ISIL (Daesh) baru-baru ini tidak seharusnya menimbul rasa puas hati di mana-mana peringkat,” kata Voronkov yang menggunakan singkatan nama lain untuk kumpulan militan itu, Islamic State of Iraq and the Levant.

Memiliki pusat kawalan di Iraq dan Syria, di mana ia dilaporkan mempunyai antara 14,000 dan 18,000 militan, termasuk 3,000 pengganas asing, Daesh terus berkembang menjadi rangkaian rahsia yang beroperasi di peringkat tempatan dan mengatur langkah ke peringkat wilayah, serta dilaporkan mempunyai matlamat untuk menjejaskan kestabilan mana-mana negara, kata Voronkov ketika memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan.

Meskipun aktiviti Daesh kini lebih bersifat tersembunyi atau setempat, kepimpinan pusatnya mengekalkan pengaruh dan matlamat untuk melancarkan serangan secara langsung di peringkat antarabangsa, oleh itu, ia masih memainkan peranan penting dalam mengetengahkan objektif kumpulan pengganas itu, kata beliau.

— BERNAMA