Meskipun hilang sokongan, DAP teruskan projek Impian Sarawak

Meskipun hilang sokongan, DAP teruskan projek Impian Sarawak

Walaupun hilang lima kerusi dalam pilihanraya Sarawak, DAP akan terus komited melaksanakan program infrastruktur dan kem pendidikan Impian Sarawak memandangkan ia disasarkan untuk jangka masa panjang, dan bukan untuk memancing undi.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, berkata seiring dengan prinsip DAP, parti itu tidak akan jemu berusaha untuk membawa perubahan kepada kualiti hidup warga Malaysia dan landskap politik negara.  

“Impian Sarawak ditubuhkan dengan tujuan untuk merapatkan jurang bandar-luar bandar, menyediakan kemudahan asas, projek kesihatan dan pendidikan, serta menyediakan servis yang mampu membantu kehidupan penduduk miskin.

 “Keputusan pilihanraya Sarawak baru-baru ini memang mengecewakan semua pihak yang telah bertungkus-lumus untuk menjayakan projek tersebut. Namun, ia sebenarnya satu cabaran yang perlu kita tempuh untuk melahirkan Sarawak yang lebih baik, dan Malaysia yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.  

Menurut Tony, walaupun ada pihak berpendapat bahawa projek Impian Sarawak – di bawah inisiatif Impian Malaysia yang turut menjayakan Impian Sabah dan Kelantan serta beberapa program sampingan – tidak berjaya meyakinkan pengundi di luar bandar, DAP yakin ia telah membantu ramai penduduk pedalaman dalam dua tahun setengah pelaksanaannya.  

“Kami telah melaksanakan lebih 60 projek, termasuk sistem agihan air graviti yang sangat diperlukan penduduk, pembinaan jalan raya dan bekalan elektrik murah. Kami membantu beribu-ribu penduduk untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.  

“Tetapi, apa-apa jangkaan terhadap perubahan persepsi dan kepercayaan penduduk Sarawak terhadap DAP dalam jangka masa pendek adalah tidak realistik, lebih-lebih lagi sudah berdekad prejudis dan ketakutan itu ditanam.  

“Jika proses mengubah persepsi politik warga Semenanjung memerlukan usaha dan pengorbanan selama beberapa dekad, mengapa kita harap pedalaman Sarawak boleh berubah dalam sekelip mata?” katanya.  

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menambah, melalui projek Impian, DAP semakin memahami masyarakat pedalaman, terutama keperluan, batasan dan impian mereka.

 “Kami memperoleh ramai kenalan baru di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Tanpa mereka, perjalanan kami dalam menawarkan perubahan kepada penduduk di sana tidak mungkin berjaya.

 “Dan tanpa memahami nasib dan kehidupan penduduk pedalaman, usaha kami untuk mengubah persepsi dan tanggapan buruk masyarakat Sarawak terhadap kami juga tidak akan berjaya.

 “Jadi, kami berterima kasih kepada semua pihak yang telah banyak menyumbang kepada projek Impian Sabah dan Sarawak. Kami benar-benar perlukan sokongan berterusan dari semua,” katanya.

TAGS