Meskipun ragu tujuan kongres, AMANAH hormati isu Melayu

Meskipun ragu tujuan kongres, AMANAH hormati isu Melayu

Kehadiran Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dalam Kongres Maruah Melayu hanya sebagai sokongan dalam membincangkan permasalahan Melayu pada era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim berkata, biarpun tujuan kongres tersebut agak diragui, namun ia sebagai cara terbaik membawa mesej bahawa AMANAH menghormati isu-isu berkaitan kepentingan Melayu.

“Sebenarnya memang kita bincang isu kehadiran (Presiden) ke program Kongres Maruah Melayu ini. Orang kata nak tahulah apa sebenarnya tujuan program ini dibuat.

“Kalau kita tak pergi, akan dianggap sebagai golongan yang tak ambil tahu masalah orang Melayu. Nanti kita dianggap pula anti Melayu.

“Jadi, kalau seorang dua pergi pun sudah cukup untuk mewakili AMANAH. Presiden ambil tanggungjawab untuk hadir ke program itu,” dipetik dari Mingguan Amanah.

Mengulas lanjut kongres dengan amanat daripada Tun Dr Mahathir itu, Izham berkata, semuanya bergantung kepada para pemimpin dan orang politik untuk menangani permasalahan yang telah dibentangkan.

Jelasnya, program yang bersifat retorik tanpa tindakan susulan hanyalah bersifat buang masa dan tidak akan memperkasakan Melayu itu sendiri.

“Ia sama saja seperti kongres sebelum ini. Masalah Melayu terancam. Tapi bagaimana mereka akan baiki keadaan ini. Tak ada langkah penyelesaian konkrit, retorik saja.

“Perhimpunan pun macam berbincang, perkara sama berulang-ulang. Memang program itu ada membentangkan idea yang baik sikit, tapi siapa yang nak laksanakan. Semuanya akan balik pada orang politik juga,” ujarnya.

Izham turut mempersoalkan Umno yang dahulunya mentadbir sehingga 60 tahun namun tiada anjakan pemikiran yang dilaksanakan.

Malah bidasnya, parti pembangkang itu berterusan menimbulkan isu kaum apabila mereka gagal berkuasa.

“Kita tak begitu minat dengan retorik semata-mata kerana program seumpama ini sudah berterusan berpuluh tahun.

“Sebelum ini yang memerintah lebih 60 tahun adalah Umno. Sepatutnya mereka telah berjaya menaikkan taraf atau tahap pemikiran orang Melayu.

“Tapi apabila mereka gagal berkuasa, maka mereka timbulkan isu ini. Saya rasa orang Melayu kena tengok balik kenapa berlaku kelemahan atau pun fenomena yang dihadapi orang Melayu hari ini,” tambah Izham lagi.