Malaysia Dateline

Mesti ada cara lain bukan jual aset negara, kata Ku Li

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah mengingatkan kerajaan agar tidak bertindak terlalu terdesak untuk menjual tanah dan bangunan Malaysia di Hong Kong.

Sebaliknya, kerajaan ujar Ahli Parlimen Gua Musang itu, perlu menyimpan Menara 28 tingkat itu memandangkan harganya kini sudah melambung tinggi.

“Bagi saya keadaan kewangan kerajaan sekarang tidaklah begitu mendesak, kalau ya pun tak ada duit, PH sudah jadi kerajaan, mesti ada cara dan sumber lain yang boleh dicari. Takkanlah nak jual sampai ke seluar dalam.

“Pendapat saya, eloklah kita simpan, kerana kalau nak beli pula harganya dah melambung naik. Dulu kita (kerajaan BN) beli pada 2 Jun 1980 dengan harga HK$200 juta (RM103.8 juta).

“Tapi sekarang ini harga harga tanah sahaja dah bernilai berbilion. Ada duit nak beli bangunan lain dengan harga berbilion ringgit?” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li mendedahkan bangunan di Jalan Gloucester, di daerah Wanchai itu menempatkan beberapa agensi kerajaan termasuk pejabat Konsulat Jeneral Malaysia.

Jelasnya, bangunan itu dibeli oleh Malaysia ketika beliau masih menjawat jawatan Menteri Kewangan.

“Kita beli kerana ada keperluan untuk agensi kerajaan yang bertindak di sana (Hong Kong) berselerak merata tempat, jadi Kementerian Luar berpendapat eloklah agensi-agensi itu ditempatkan dalam satu bangunan.

“Menara 28 tingkat itu menempatkan agensi pelaburan, pelancongan, import eksport, getah dan pelbagai lagi agensi daripada banyak kementerian, sebab itu difikirkan adalah lebih baik ditempatkan dalam satu tempat yang sama.

“Setelah diteliti oleh Kementerian Luar kesesuaiannya, barulah Kementerian Kewangan buat keputusan untuk membelinya,” kata Ku Li.

Bulan lalu, akhbar The Star yang memetik laporan akhbar tempatan Hong Kong, Ming Pao mendedahkan Kumpulan Evergrande China dalam perbincangan untuk membeli bangunan milik kerajaan Malaysia di Hong Kong iaitu Malaysian Building.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan memutuskan supaya penjualan tanah dan Bangunan Malaysia di Hong Kong tidak dilakukan secara rundingan terus, sebaliknya secara tender terbuka.

Menurut pemimpin DAP tersebut, Kabinet memutuskan proses penjualan dan pelupusan hartanah itu dilakukan secara tender terbuka untuk memastikan kerajaan mendapat nilai terbaik daripada penjualannya.