Malaysia Dateline

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN batal sebab ada parti komponen tidak terima notis

Parti komponen BN mendakwa tidak menerima notis tentang pemakluman Mesyuarat Dewan Tertinggi blok parti tersebut yang dijadualkan berlangsung malam ini.

Sumber Umno berkata, hal itu menyebabkan mesyuarat yang sepatutnya dihadiri MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu dibatalkan, lapor Malaysiakini malam ini.

“Mesyuarat dibatalkan kerana parti komponen BN mendakwa tidak menerima notis tentang pemakluman mesyuarat berkenaan.

“Ia adalah sesuatu yang amat mengejutkan dan tidak masuk akal, kerana BN cukup cekap dalam hal ini,” dipetik laman berita tersebut.

Sebelum ini, Astro Awani melaporkan mesyuarat BN menjelang minggu terakhir bulan Syaaban ini dibatalkan tanpa penjelasan.

Pembatalan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN berlaku ketika hubungan antara Umno dan Bersatu dilihat semakin meruncing.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini telah memuktamadkan pendirian mengakhiri kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) sebaik PRU15 bermula.

Bagaimanapun, kluster menteri Umno diketuai Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor telah berbincang bersama semua menteri dan timbalan menteri Umno yang lain tentang pro dan kontra jika terus kekal bersama kerajaan PN.

Susulan itu, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 4 April antara lain berikrar untuk berjuang habis-habisan mempertahankan kesemua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang wakil rakyatnya pada PRU akan datang.