Malaysia Dateline

Tan Kok Yew

Mesyuarat Exco Kedah dijangka akan dihadiri PH dan Bersatu esok

Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Kedah dijangka akan diadakan, esok dihadiri barisan Exco Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew, berkata pihaknya masih menjalankan tugas seperti biasa bagi memastikan kelancaran kerja dijadualkan sebelum ini.

“Saya sendiri berjumpa dengan pelabur semalam. Dalam perjumpaan itu kami memberi taklimat kepada pelabur mengenai potensi pelaburan di Kedah.

“Malah, esok saya difahamkan akan diadakan mesyuarat EXCO seperti biasa,” katanya seperti dipetik laporan Berita Harian hari ini.

Kok Yew yang juga Pengerusi DAP Kedah, bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai taklimat pelaburan berkenaan.

Turut difahamkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berada di Kuala Lumpur dijangka kembali ke Kedah, malam ini.

Berikutan kejatuhan kerajaan PH, kerajaan negeri Kedah yang dibarisi kepimpinan gabungan PH dan Parti BERSATU dijangka berubah berikutan langkah Mukhriz tidak menyokong pelantikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Komposisi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah ketika ini menunjukkan PAS menguasai 15 kerusi, PKR (7), Bersatu (6), AMANAH (4), Umno (2) dan DAP (2).