Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet semak pelaksanaan MA63

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet semak pelaksanaan MA63
Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemandu yang diadakan semalam.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) yang diadakan di Kuala Lumpur semalam adalah untuk menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia yang kelima.

Menurut kenyataan media Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang,Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek Sarawak)Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamed dan dihadiri seramai 23 ahli Jawatankuasa Pemandu.

Katanya, Jawatankuasa berkenaan terdiri daripada Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan, Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah.

“Sehingga hari ini, sebanyak 21 isu telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet ini untuk diteliti dan dikaji secara bersama.

“Dan setakat 23 Julai 2019, tujuh isu telah mendapat persetujuan bersama seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 19 Ogos 2019 yang lepas,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuching hari ini.

Jelas Sharifah Hasidah, antara perkara-perkara yang telah dipersetujui adalah mengenai kuasa kawalselia pengedaran gas dan elektrik, penubuhan Jawatankuasa Kerja Pemantapan Kolaborasi Pelaksanaan Projek Persekutuan bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan projek Persekutuan di Negeri, penurunan kuasa kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah bagi membuat perundangan subsidiari mengenai “labour conditions peculiar to the state” di bawah Ordinan Buruh negeri masing-masing, dan penubuhan Jawatankuasa Khas Libat Urus secara berkala untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan isu pengurusan kesihatan Negeri Sarawak dan Sabah.

Tambah beliau lagi, mesyuarat yang diadakan pada kali ini merupakan mesyuarat yang terakhir bagi Pemandu

“Terdapat perkara-perkara yang masih dibincangkan antaranya ialah¬† Semakan Semula Pemberian Khas, royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, tanah negeri yang diberi hak milik kepada Persekutuan, kuasa baki perundangan, pertambahan jawatan dan beberapa perkara
lain.

“Bagi isu semakan semula pemberian khas, pihak Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut untuk membincangkan secara terperinci mengenai rangka proses dan prosedur bagi semakan semula pemberian khas ini dan juga mengenai formula yang akan digunakan.

“Semakan Pemberian Khas ini akan turut membincangkan dengan lebih lanjut perkara-perkara lain termasuklah gantian sumber kewangan yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri iaitu duti import dan eksais bagi produk petroleum yang mana sumber kewangan ini telah diberhentikan kerana Keralaan Pusat
menandatangani AFTA pada tahun 2001,” katanya.

Mengenai isu Petroleum dan gas beliau berkata, Jawatankuasa Khas ini telah bersetuju bahawa perbincangan B2B di antara Petronas, Petros
dan Kerajaan Negeri akan diteruskan.

Manakala tambahnya lagi, isu mengenai bayaranroyalti dan pembayaran tunai bagi petroleum dan gas akandibincangkan secara berasingan antara Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak.

“Perbincangan tersebut dijangkan akan diadakan pada Disember ini.

“Selain daripada perkara-perkara di atas. Jawatankuasa Khas Kabinet turut bersetuju agar satu Majlis Khas ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan keputusan-keputusan yang telah dibuat di dalam Jawatankuasa Khas ini, Majlis Khas yang ditubuhkan ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan kedua-dua Ketua
Menteri Sabah dan Sarawak turut dilantik menjadi ahli Majlis Khas ini,” jelasnya.